Khairuddin umum keluar Pas serta-merta - Utusan Malaysia

Khairuddin umum keluar Pas serta-merta

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar daripada parti Pas berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu adalah selaras dengan Perlembagaan parti iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pertemuan di Bangunan Parlimen, pada pukul 2.30 petang tadi.

Dengan keputusannya keluar parti, beliau memilih untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat.

Khairuddin bagaimanapun enggan mendedahkan punca mengapa beliau bertindak demikian.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas atas peluang menjadi ahli selama 33 tahun, sejak 1989 dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan kepemimpinan sejak 1999.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pas yang memberi peluang untuk dicalonkan pada pilihan raya, seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak 2013,” katanya semasa sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Merujuk kepada surat yang dihantar kepada pimpinan Pas, Khairuddin berkata, akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai ahli Parlimen pada waktu yang berbaki sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai memenuhi bai’ah dibuat ketika bertanding.

Beliau berkata, agak berat untuk membuat permohonan berhenti (keluar parti), namun ia sudah termaktub dalam perlembagaan parti.

“Saya doakan Pas maju jaya sebagai parti yang membawa agenda Islam dan sebagai Muslim, saya akan terus perjuangkan dasar Pas iaitu Islam dan seruan Pas, Allahu Akbar. Saya seru semua ahli Pas, terus istiqamah dengan perjuangan Pas dan perjuangkan Islam menerusi wadah Pas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya