Pahang antara negeri di Semenanjung mempunyai hutan tropika yang luas berbanding dengan negeri lain.
Hutan tropika itu merupakan khazanah negeri ini dan negara amnya menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor ekopelancongan selain pemampanan ekosistem.
Hutan berkenaan selalunya terletak di kawasan Taman Negara dan hutan simpan kerajaan menjadi habitat flora dan fauna serta pelbagai jenis tumbuhan saka yang bermutu tinggi.
Selain daripada keindahan alam semula jadi, sungai, gunung-ganang dan bukit-bukau, malahan bunga-bungaan antara tumbuhan yang mewarnai kawasan hutan juga menjadi tarikan pengunjung.
Salah satu tarikan yang jarang ditemui pengunjung, iaitu bunga pakma atau nama santifiknya, Rafflesia banyak tumbuh meliar di hutan Pahang.
Salah sebuah tempat yang tumpuan pengunjung untuk melihat bunga tersebut, iaitu di Sungai Rengat, Ulu Cheka dekat sini kira-kira 30 minit perjalanan dari Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara.
Kebetulan Rafflesia mula berkembang pada awal bulan November bertepatan pula negara memasuki tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 membabitkan kelonggaran sekatan antara daerah dan negeri memberikan keselesaan pengunjung melawat lokasi terdapatnya bunga tersebut.
Bunga pakma yang dikatakan terbesar di dunia cuma boleh terdapat di empat lokasi di Pahang, iaitu Taman Eko Rimba di Raub, Jerantut, Lipis dan Pulau Tioman, manakala ada ditemui di negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perak dikenali sebagai Rafflesia cantleyi.
Seorang pengunjung dari Temerloh, Zuraida Abd. Rahman berkata, dia mengetahui bunga pakma ini tumbuh mekar di hutan Sungai Rengat dalam bulan Disember lalu menerusi maklumat daripada rakannya.
“Kami terus ke Ulu Cheka, Jerantut dan kemudiannya menaiki kenderaan pacuan empat roda selama 20 minit untuk tiba di hutan Sungai Rengat, Ulu Cheka dan bertuah kerana dapat melihat bunga tersebut berkembang mekar.
“Teruja sangat dapat melihat bunga ini dalam jarak yang dekat sambil merakamkan gambar sebagai kenangan dan belum tentu boleh dilihat lagi pada masa akan datang. Inilah pertama kali dapat melihat bunga itu yang berwarna garang merah kecoklatan.
Menurut Zuraida, pemandu pelancong tidak membenarkan mereka menyentuh kerana bunga ini pemalu dan sensitif kemungkinan sekiranya disentuh bunga ini tidak jadi kembang dan mereput.
Tambah Zuraida, oleh kerana belum puas menikmati keindahan warna dan keajaiban ciptaan Allah SWT, dia bercadang untuk datang semula hutan Sungai Rengat ketika bunga ini tumbuh pada tahun depan.
Sembilan bulan baru mekar
Pencinta tumbuhan liar Taman Negara, Sabri Abdullah, 52, berkata, spesies Rafflesia cantleyi mengambil masa selama sembilan bulan untuk mekar, tapi tempoh mekar cuma sekejap sahaja, iaitu selama dua hingga tiga hari dan kemudiannya mati.
“Kita boleh melihat sahaja, tetapi tidak boleh menyentuh kerana bunga ini sangat sensitif dan akan menguncup serta kemudiannya akan mati. Selain itu, bunga ini akan mengeluarkan bau busuk untuk memikat serangga bagi penyebaran floranya.
“Oleh sebab itu, jarang ditemui Bunga Pakma di hutan tempat dan keindahan tumbuhan ini menjadi aset pembangunan ekopeancongan di Ulu Cheka daerah ini.
Ujarnya, penemuan bunga spesies itu amat jarang dan bukan semua pengunjung berpeluang menikmati keindahan tumbuhan tersebut cuma mukim Ulu Cheka daerah ini yang dikenali ‘Rafflesia Trail’ antara lokasi yang dilindungi oleh Jabatan Perhutanan.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Dearah Jerantut yang juga Pengerusi Infrastruktur dan Lalu Lintas, Datuk Ridzuan Mansor berkata, Rafflesia menjadi ikon kebersihan dan keindahan Bandar Jerantut, Bandar Taman Negara sebagai nilai tambah tarikan pengunjung ke situ.
“Menerusi Pogram Trash To Cash anjuran SWCorp Jerantut, bahan terpakai seperti tayar dikitar semula lalu dibentuk (dijadikan) bunga Rafflesia antara hiasan di kawasan tumpuan pengunjung bandar ini selari dengan matlamat Projek Showcase Bandar Sihat yang dilancarkan baru-baru ini.
“Pengunjung bukan sahaja mengenali bandar ini sebagai transit ke Taman Negara Kuala Tahan, tetapi dapat menghayati Rafflesia dengan berkunjung ke hutan simpan Kampung Ulu Cheka di samping mengenali sejarah pahlawan Pahang yang menentang Jepun, British dan Komunis, iaitu Pawang Nong Santan,” katanya.
Bagi kalangan pakar perubatan dan pengamal herba tempatan, bunga pakma atau Rafflesia dikaitkan penjagaan kesihatan dalaman wanita termasuk menyerikan wajah.
Keberkesanan rawatan kesihatan berasaskan bunga tersebut sehingga kerap dicari dalam hutan untuk diekstrak khusus rawatan ibu ketika berpantang, mencantikkan perut, awet muda, memudahkan kelahiran dan bermacam-macam khasiat lagi.
Masyarakat Orang Asli etnik Bateq yang mendiami hutan Taman Negara dikatakan mempunyai ‘rahsia’ tentang Rafflesia bagi tujuan rawatan dan perubatan bagi kalangan wanita selepas melahirkan anak.
Hari ini, Rafflesia antara bunga yang menjadi ikon ekopelancongan yang gambarnya menjadi hiasan di pintu masuk sesebuah bandar dan mewarnai landsakap taman namun bukan semua pengunjung dapat menjejaki bunga yang bernilai komersial itu.