PETALING JAYA: Keadaan kesihatan vokalis kumpulan terkenal XPDC, Ali, semakin baik selepas dimasukkan ke Hospital Ampang pada 4 Mac lalu akibat jatuh sakit.
Perkhabaran tersebut dikongsi ahli keluarga penyanyi lagu Titian Perjalanan itu menerusi akaun Instagram rasmi kumpulan tersebut.
Menerusi perkongsian berkenaan, Ali diberitakan sedang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
“Alhamdulillah. Saudara Ali XPDC @mohdali.ismaili sudah semakin sihat. Semakin hari semakin baik kesihatannya.
“Kini sedang menjalani rawatan di Hospital Rehab HUKM. Tangan kanan dan kaki kanan sudah makin boleh digerakkan.
“Percakapan juga semakin jelas selepas menjalani Rehab di hospital,” katanya.
Dalam perkembangan lanjut, Ali juga dikatakan kini lebih bersemangat dan sudah boleh membuat aktiviti-aktiviti ringan termasuk memakai pakaian sendiri.
Di samping itu, ahli keluarganya menitipkan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan penyanyi itu selain memohon orang ramai agar tidak putus mendoakan agar Ali diberikan kesihatan seperti sedia kala.
“Menurut keluarganya, Ali kuat semangat dan kini boleh membuat aktiviti ringan serta sudah boleh pakai sendiri pakaian.
“Terima kasih atas segala doa semua dan harap teruskan berdoa supaya Ali XPDC dapat pulih sepenuhnya.
“Ya Allah……kau berikanlah kesembuhan sepenuhnya kepada saudara Mohd Ali bin Ismail,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Ali terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang apabila secara tiba-tiba lemah ketika mahu makan selepas selesai membuat latihan di studio milik pemain bass XPDC, Eddie dekat Pandan Indah.
Dalam perkembangan lain, Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 yang sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor akan diteruskan pada Jumaat ini.
Namun, memandangkan kesihatan Ali tidak mengizinkan, penganjur, sinio.com dan Warisan Hall Studio memaklumkan mereka menjenamakan semula konsert berkenaan kepada Konsert Jualan Hitam XPDC 2022, Tribute Untuk Ali.
Mereka mensasarkan jualan tiket dalam talian sebanyak 10,000 unit bagi konsert ini. Sebahagian jualan tiket juga akan disumbangkan kepada Ali.