PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz, meminta agar orang ramai berhenti berkongsi video seorang wanita dan anak lelakinya yang tular baru-baru ini, ketika di sedang membuat siaran langsung di sebuah serbaneka 7Eleven yang dipercayai di Paka, Terengganu.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon naskhah Suamiku lelaki pendosa itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Aaron, perbuatan menyebarkan video terbabit di laman media sosial harus dihentikan kerana sedia maklum wanita yang dikenal sebagai Kak Long itu sudah memohon maaf dan menyesal dengan kelakuannya.
Pada masa sama, pelakon itu turut bimbang mengenai kehidupan anak wanita itu selepas ini terutama melibatkan mental ketika di sekolah kerana malu diejek atau sebaliknya.
“Assalamualaikum. Di sini saya minta jasa baik netizen semua untuk hentilah repost fasal Kak Long 7Eleven itu.
“Dia pun sudah minta maaf dan pasti menyesal. Kesian anak dia nanti nak pergi sekolah malu diejek ke apa,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, Aaron minta bersama-sama mendoakan yang baik-baik sahaja buat keluarga berkenaan.
“Kita doakan yang baik baik sahaja lah ya. Cerita sudah habis, jadi biarlah keluarga itu hidup dengan aman.
“Saya pasti dia telah mendapat pengajaran,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi satu video berdurasi 5 minit 4 saat, wanita berkenaan dilihat sedang mengamuk gara-gara berang anak lelakinya yang berusia sekitar 10 tahun dituduh mencuri di sebuah kedai serbaneka di Paka, Terengganu.
Video pertengkaran itu dipercayai tular selepas wanita berkenaan yang dikenali sebagai Wan Noor Baizura membuat siaran langsung di akaun TikTok miliknya semasa kejadian berlaku pada malam Rabu, 2 Mac lepas.
Bagaimanapun, pada 3 Mac, Wan sekali lagi membuat siaran langsung di Facebook rasminya yang mengatakan dia dalam perjalanan untuk membuat permohonan maaf kepada kakitangan di kedai serbaneka terlibat.
Beberapa hari lepas, dia menyatakan akan bakal mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang masih menyebarkan video terbabit di media sosial.