PETALING JAYA: Penglibatan akademik dan kokurikulum ketika di universiti perlu seimbang, kata graduan Kelas Pertama Ijazah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurul Nabilah Fazerra Nordin.
Beliau yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) berkata, 70 peratus tumpuan adalah kepada akademik, manakala 30 peratus untuk bidang kokurikulum.
“Saya juga memegang beberapa jawatan dalam kelab dan persatuan semasa menuntut di UMS.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/UMS-2-567x600.jpg)
“Saya turut menggalakkan para pelajar untuk menikmati sepenuhnya kehidupan dalam kampus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UMS ke-22, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, menurut beliau, doa dan usaha juga penting dalam menuntut pelajaran. Dua perkara tersebut menjadi kunci kejayaannya sehingga meraih himpunan purata nilai gred (CGPA) 3.85.
“Selain itu, kita mestilah selalu berkongsi ilmu dan saling tolong menolong dengan rakan-rakan, barulah ilmu bertambah berkat.
“Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh rakan-rakan yang baik dan peramah sepanjang pelajaran saya di sini,” ujarnya.
Anak kedua daripada empat adik-beradik itu kini bekerja di bawah syarikat ayahnya. – UTUSAN