KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mengaitkan beliau dengan salah laku seksual, selesai secara baik.
Persetujuan tersebut dicapai oleh kedua-dua belah pihak selepas Lokman selaku defendan memohon maaf kepada Mohd. Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie (plaintif).
Sehubungan itu, Hakim Datuk Rozana Ali Yusof merekodkan perintah persetujuan ketika pengurusan kes secara dalam talian di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Prosiding itu turut dihadiri oleh kedua-dua plaintif dan defendan.
Peguam Logen Eskander Abdullah yang mewakili Lokman memberitahu pihak media, terma-terma yang terkandung dalam perintah tersebut tidak didedahkan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Menurut beliau, Lokman bersetuju memohon maaf dan kesal dengan situasi yang berlaku.
Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im turut memberitahu, defendan memberi jaminan akan menurunkan kesemua hantaran berkaitan dakwaan yang dibuat dalam laman sosial Facebook serta berjanji tidak akan mengulanginya.
Akberdin memaklumkan, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mengaku menerima maklumat yang salah daripada pihak ketiga dan tidak menyemaknya terlebih dahulu dengan Hakim Mahkamah Syariah tersebut.
“Lokman kemudian menyedari maklumat yang disampaikan oleh pihak ketiga itu adalah maklumat yang salah,” jelasnya.
Pada 16 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Mohd. Na’im untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Lokman.
Ini kerana defendan telah memfailkan pernyataan pembelaannya pada 11 Februari lalu sebagaimana diarahkan oleh mahkamah.
Penghakiman ingkar merupakan satu perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bagi mengesahkan tuntutan yang dibuat oleh plaintif selepas defendan (individu yang disaman) gagal memasukkan kehadiran atau memfailkan pembelaan mengikut masa yang ditetapkan.
Pada 17 Januari lalu, Mohd. Na’im atas kapasiti peribadi memfailkan saman fitnah terhadap Lokman yang didakwa mengaitkan beliau dengan salah laku seksual.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, plaintif mendakwa Lokman telah membuat dua siaran langsung mengandungi kenyataan berbaur fitnah di laman sosial Facebook miliknya pada 10 dan 13 Januari lalu.
Rakaman kedua-dua siaran langsung itu kemudian telah dimuat naik ke laman Youtube milik defendan.
Menurut Mohd. Na’im, hantaran (posting) yang dibuat oleh Lokman antara lain menggambarkan beliau telah membuat gangguan seksual ke atas beberapa wanita termasuk seseorang bergelar Datin.
Hantaran itu turut menggambarkan plaintif tidak layak memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie, mempunyai akhlak yang buruk dan menyebabkan negara dilanda musibah.
Hantaran-hantaran tersebut juga didakwa menyebabkan kredibiliti, maruah dan reputasi Mohd. Na’im terjejas serta mengundang kecaman dan kebencian daripada orang awam yang melihat rakaman dan membaca hantaran tersebut.
Mohd. Na’im antara lainnya menuntut agar Lokman membuat permohonan maaf terhadap beliau dan akan disiarkan dalam laman-laman sosial milik defendan dan juga portal berita serta media tempatan.
Plaintif juga memohon satu ganti rugi am yang akan ditaksirkan oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing sebanyak RM10 juta berserta faedah sebanyak lima peratus atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN