PUTRAJAYA: Malaysia kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 33,209 kes positif berbanding kelmarin, 32,467 kes sekali gus mengatasi 26,352 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan penurunan, 348 kes berbanding kelmarin, 355 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut merekodkan peningkatan kepada 211 kes berbanding kelmarin, 208 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan 17 kluster berbanding kelmarin, 11 kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,826 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 dengan jumlah terkini meningkat kepada 476 kluster berbanding kelmarin, 466 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,350 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 203 kes daripada 33,209 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima, dan baki kes harian, 33,206 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 203 kes kategori tiga, empat dan lima, 43 kes atau 21.18 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 117 kes atau 57.64 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.
“Selain itu, 43 kes atau 21.18 peratus telah menerima dos penggalak; 119 kes atau 58.62 peratus berumur 60 tahun dan ke atas; 67 kes atau 33.00 peratus mempunyai komorbid; dan satu kes atau 0.49 peratus kes adalah kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menurun sebanyak 78 kes berbanding semalam, 86 kes. Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,106 kes.
Bagi kes BID, sebanyak 22 daripada 78 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,830 kes. – UTUSAN
Berikut merupakan pecahan kes mengikut negeri”
Selangor -8,897
Kuala Lumpur -4,105
Kedah -3,060
Pulau Pinang- 2,592
Johor -2,359
Sabah -2,131
Negeri Sembilan -1,679
Kelantan -1,572
Perak -1,544
Pahang -1,535
Sarawak -1,333
Terengganu -938
Melaka -741
Perlis -270
Labuan -266
Putrajaya -187