PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 semalam apabila merekodkan sebanyak 31,490 kes positif berbanding kelmarin, 26,856 kes sekali gus mengatasi 29,035 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam, merekodkan peningkatan, 373 kes berbanding kelmarin, 368 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan kekal merekodkan jumlah yang sama seperti kelmarin, 223 kes.
“Bagi kluster Covid-19 baharu pula merekodkan peningkatan kepada 11 kluster berbanding kelmarin, lapan kluster sekali gus menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,860 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 kekal 445 kluster seperti kelmarin, manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,415 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 175 kes daripada 31,490 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 31,315 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 175 kes kategori tiga, empat dan lima, 39 kes atau 22.29 peratus tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 90 kes atau 51.43 peratus telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 46 kes atau 26.29 peratus telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 107 kes atau 61.14 peratus berumur 60 tahun dan ke atas dan 43 kes atau 24.57 peratus mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat sebanyak 79 kes berbanding semalam, 77 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 10 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 33,384 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 19 daripada 79 kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,914 kes. – UTUSAN