PETALING JAYA: Perkhidmatan van yang mengambil Sofia Raniya, 8, kanak-kanak yang dilaporkan hilang dipercayai tersalah menjemputnya sebelum disedari pemandu kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya mendapati murid perempuan sebuah sekolah di Cheras, dekat sini itu diambil pemandu van sebelum dihantar di kondominium, lokasi kanak-kanak tersebut ditemukan.
Menurut beliau, bagaimanapun, perkara itu disedari apabila pemandu van berusia 40-an itu dihubungi bapa kanak-kanak yang sepatutnya dijemputnya.
“Lelaki itu sepatutnya mengambil kanak-kanak lain yang mempunyai nama sama dengan Sofia. Apabila menyedari hal itu, dia terus menjemput ‘Sofia’ sebenar sebelum menyedari kehilangan kanak-kanak itu telah tular.
“Kita telah mengambil keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Muhammad Idzam berkata, susulan laporan polis yang dibuat, polis Cheras menggerakkan semua elemen penugasan termasuk pasukan siasatan bagi mengesan kanak-kanak yang hilang itu.
Selain itu, pihaknya memohon bantuan orang ramai untuk sama-sama menyalurkan sebarang maklumat melalui hebahan di media sosial.
“Pada 9.35 malam, kanak-kanak terbabit dijumpai dalam keadaan baik oleh orang awam di kawasan pekarangan lobi Kondominium The Holmes, Bandar Tun Razak, Cheras yang kemudiannya menghubungi polis Cheras.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, kanak-kanak terbabit dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.
Semalam tular, kanak-kanak berusia lapan tahun itu dilaporkan hilang dari sekolah selepas ibunya dikatakan terlewat mengambil akibat kesesakan lalu lintas.- UTUSAN