KLANG: Kes pergaduhan yang tular antara dua individu yang juga jiran di sekitar Bandar Sultan Suleiman di sini, sudah diselesaikan dengan cara baik.
Kejadian itu melibatkan jiran dua lelaki tempatan yang berselisihan faham berkaitan bola yang jatuh di bumbung rumah salah seorang daripada mereka.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya mendapati satu video mengenai pergaduhan itu tular di media sosial kelmarin.
Katanya, polis sudah menerima laporan yang dibuat kedua-dua pihak berkenaan.
“Kejadian itu berpunca akibat pihak pertama menegur anak pihak kedua kerana bermain bola di padang berhampiran rumahnya. Bola itu sudah terjatuh ke bumbung tersebut dan mengakibatkan sedikit kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Vijaya, pihaknya turut sudah memanggil kedua-dua pihak ke balai polis untuk direkodkan keterangan.
“Mereka kemudian bersetuju menyelesaikan perselisihan faham itu dengan cara baik Kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL),” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga keharmonian hidup berjiran dan tidak muda menimbulkan perbalahan antara satu sama lain.
Berdasarkan video berdurasi lebih seminit itu, seorang lelaki memandu pacuan empat roda keluar dan mendekati jirannya yang juga warga emas.
Lelaki warga emas itu memegang satu objek dipercayai serpihan bumbung dan berlaku pergaduhan mulut sesama mereka. – UTUSAN