Kerjasama strategik UMP, Seeloz membangunkan teknologi AI

Kerjasama strategik UMP, Seeloz membangunkan teknologi AI

YUSERRIE Zainuddin (empat dari kiri) dan Mohd. Emran Ibrahim (empat dari kanan) bertukar dokumen dalam majlis di UMP Pekan di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Teknologi kecerdasan buatan (AI) penting untuk meningkatkan kecekapan rantai bekalan dan pengeluaran sejajar idea pelaksanaan Revolusi Industri Keempat (IR4.0). 

Menyedari hakikat itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan peneraju utama bagi Automasi Rantaian Bekalan dalam teknologi AI, Seeloz (M) Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Seeloz Inc. yang diasaskan bersama Dr. Mohamed Aly, Amir A.Razelan dan Mohd. Emran Ibrahim. 

Amir dan Mohd. Emran adalah anak tempatan yang mencipta nama dalam dunia AI di peringkat antarabangsa.

 Memanfaatkan AI & Automasi, Seeloz memperkenal Supply Chain Automation Suites (SCAS) iaitu satu Perancangan Keperluan Autonomi (ARP) pertama di dunia untuk menguruskan rantaian bekalan yang kompleks dan luas. 

Hasil kerjasama itu, UMP bakal mempunyai pusat strategik yang menumpukan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi AI serta membangunkan ‘Seeloz AI House’. 

 Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai ini membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam bidang AI dan teknologi serta memperkukuh pembangunan akademik yang menumpukan bidang teknologi AI dalam industri rantaian bekalan.

Ketua Pegawai Operasi Seeloz, Azman M. Ali, kerjasama ini peluang terbaik kerana UMP mempunyai rekod membanggakan dalam pendidikan selain mempunyai ramai pakar dalam bidang teknologi.

“Seeloz komited berkongsi kepakaran, kajian kes dan pengalaman berkaitan teknologi AI yang dapat digunakan dan dimanfaatkan dalam industri.

“Kerjasama ini memfokuskan pelajar UMP terutama dalam bidang Sains Komputer, Kejuruteraan Elektronik dan Pengurusan Industri melatih mereka menjadi graduan yang berkemahiran tinggi dan menepati kriteria dan piawaian industri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menerusi kerjasama itu, penuntut UMP juga diberi peluang menyertai latihan industri bersama Seeloz dan ini akan membolehkan pelajarnya mempunyai nilai tambah serta kebolehpasaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan. 

Syarikat Seeloz juga dapat berinteraksi dengan para pensyarah UMP secara praktikal dalam berkongsi khidmat kepakaran domain yang pelbagai, konsultasi dan pembangunan dalam membantu memberikan manfaat kepada kedua belah pihak. Perkongsian ini penting dalam menghasilkan pembangunan teknologi termaju yang berkualiti.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, UMP menjalinkan kerjasama strategik dengan industri bagi memantapkan jaringan dalam pelbagai bidang terutama akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber manusia yang bakal dimanfaatkan oleh kedua-dua belah pihak.

Ujarnya, selain Pusat Kecemerlangan AI (CoE), kerjasama ini turut memberi peluang kerjasama dalam latihan, pendidikan, pembangunan dan penyelidikan. 

“Antara program yang bakal dilaksanakan adalah latihan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ yang memerlukan penglibatan pensyarah, pelajar dan pihak industri,” katanya. 

Sementara itu, Mohd. Emran selaku Pengarah Eksekutif Seeloz juga merancang untuk mengadakan program-program latihan yang berkaitan dengan sistem rantaian bekalan dan teknologi AI. 

“Dengan adanya program ini juga memberikan nilai tambah, daya saing dan berdaya maju dalam menjadikan kualiti pendidikan Malaysia antara terbaik di dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya