REMBAU: Sebuah keluarga tidak menyangka, bunyi dentuman kuat petang semalam rupa-rupanya adalah bunyi runtuhan tembok pagar rumah mereka di Rumah Rakyat Sungai Layang, di sini.
Cheong Kam Seng, 52, berkata, sejak menduduki rumah tersebut 35 tahun lalu dan kejadian tersebut pertama kali berlaku dan dia tidak menolak kejadian berkemungkinan berpunca daripada kerja-kerja menaik taraf longkang di kawasan rumahnya.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, isteri dan seorang anak perempuan saya berusia 16 tahun berada di rumah. Mujurlah tiada perkara buruk yang berlaku kepada mereka.
“Semalam hujan lebat, memang sebelum ini ada kerja-kerja mahu buat longkang jadi saya harap agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Layang, Mohd. Rizal Alway, berkata, sebarang kerja-kerja naik taraf perlu sentiasa dipantau bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
“Harap kejadian seperti ini tidak berulang dan kerja-kerja yang dilakukan perlulah mengikut perancangan yang betul lebih-lebih lagi kini keadaan cuaca yang kerap hujan,” katanya. – UTUSAN