KUALA LUMPUR: Kerajaan menempatkan lebih 558,000 peluang pekerjaan melalui 27 inisiatif di bawah Majlis Pekerjaan Negara (NEC), menyaksikan rekod itu melebih sasaran awal sebanyak 500,000 pada tahun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, daripada pencapaian tersebut, program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) memberi peluang pekerjaan kepada lebih 63,000 ahli Keluarga Malaysia, sekali gus menyaksikan ia melebihi sasaran awal sebanyak 50,000 penempatan.
“Selain itu, Program Penempatan Latihan Kerjaya Graduan Bersama Industri (PROTEGE) bagi program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menempatkan lebih 4,600 ahli Keluarga Malaysia berbanding jumlah sasaran awal sebanyak 4,527.
“Pencapaian yang memberangsangkan bagi program tersebut mendorong kerajaan meneruskan program bagi tahun ini di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.
“Melalui inisiatif ini dengan mengambil semangat jamin kerja, kerajaan menyasarkan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion termasuk MySTEP sebanyak 50,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik,” katanya semalsa pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah (PKR) meminta beliau menyatakan jumlah pekerjaan yang telah ditawarkan di bawah program MySTEP dan PROTEGE.
Sementara itu, bagi program PROTEGE pula, kata Tengku Zafrul, kerajaan menyasarkan sebanyak 4,600 peluang penempatan bagi tahun ini di syarikat dan GLC yang mengambil bahagian.
“Setakat 15 Mac 2022, MySTEP menempatkan hampir 11,000 pencari kerja dalam pelbagai kementerian dan GLC. Daripada jumlah ini, lebih 90 peratus ditempatkan di sektor awam dan program PROTEGE pula, sebanyak 507 peserta ditempatkan setakat 28 Februari 2022,” katanya. – UTUSAN