Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Abdul Azeez - Utusan Malaysia

Kerajaan tarik balik permohonan lucut hak harta RM16 juta milik keluarga Abdul Azeez

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk melucut hak harta RM16 juta milik ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim termasuk satu lot kedai yang didakwa hasil daripada aktiviti wang haram.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan demikian selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik permohonan untuk melucut hak harta milik keluarga Ahli Parlimen Baling itu.

Kerajaan melalui pihak pendakwaan memfailkan permohonan pada September 2019 untuk melucut hak wang tunai daripada akaun milik isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd. Noor dan empat anak mereka.

Harta itu termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd. yang bernilai hampir RM16 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim ketika memaklumkan perkembangan itu berkata, AGC bersetuju menggugurkan permohonan pelucutan hak ekoran perkembangan siasatan dan surat susulan daripada responden-responden bertarikh 15 Februari lalu.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan akan membuat perintah agar harta-harta itu dilepaskan kepada responden-responden.

Mahkamah kemudian membatalkan permohonan tersebut manakala tarikh pendengaran yang sepatutnya ditetapkan pada 21 Jun ini, dilapangkan.

Pada prosiding itu, semua responden diwakili peguam Datuk Prem Ramachandran dan Sharvin Raj.

Pada 8 Februari lalu, AGC memaklumkan bahawa pihaknya menolak representasi yang dikemukakan oleh ahli keluarga Abdul Azeez. Representasi itu diserahkan pada 16 November 2021.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, Kerajaan Malaysia memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.

Keempat-empatnya ialah Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera.

Pada 18 Disember 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan responden untuk menangguhkan prosiding saman melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen diputuskan.

Abdul Azeez, 54, kini dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Beliau turut dibicarakan terhadap 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd.

Perbicaraan itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan Abdul Azeez untuk membatalkan semua tuduhan di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya