Kerajaan perlu segerakan RUU Anti Lompat Parti - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu segerakan RUU Anti Lompat Parti

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa menyegerakan pembentangan rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti tanpa berlengah lagi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, RUU berkenaan selaras iltizam parti itu membasmi segala bentuk penyelewengan mandat oleh wakil rakyat yang dilantik selepas menang pilihan raya.

“RUU yang sepatutnya dibentangkan itu sebenarnya adalah langkah yang sangat progresif. Ia menjadi bahagian penting daripada reformasi politik yang UMNO dukung dengan sokongan Pakatan Harapan (PH). Sokongan bipartisan sedemikian bukan sahaja unik tetapi menggambarkan betapa Malaysia sedang bergerak di landasan betul dalam kematangan politiknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan RUU Anti Lompat Parti hanya akan dibentang di Dewan Rakyat sebaik sahaja pendapat serta input daripada semua pihak diperoleh dan sesi libat urus selesai.

Wan Junaidi turut membayangkan bahawa RUU itu berkemungkinan dibentang pada Sidang Khas Parlimen mengambil kira sidang Dewan Rakyat kali ini akan berakhir pada Khamis depan.

Kabinet memutuskan RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang tertangguh disebabkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, RUU itu amat relevan apatah lagi BN dan PH telah menjadi mangsa kecurangan wakil rakyat mereka yang melompat.

“Tindakan mereka itu telah menyebabkan Malaysia mengalami ketidakstabilan politik yang merencatkan kemajuan dan pembangunannya. Jika dibiarkan terlalu lama, penangguhan pembentangan RUU itu akan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat tentang komitmen UMNO dalam menjuarai reformasi politik dan institusi seperti yang dijanjikan. Justeru, ikhtiar yang penting sebegini, janganlah di lengah-lengahkan lagi dan mesti diberikan segala keutamaan oleh kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya