IPOH: Kerajaan negeri sedia membantu menghidupkan semula Bandar Agacia di Kampar yang terkenal dengan struktur bangunan unik dan ceria hingga digelar ‘Disneyland Malaysia’ namun kini suram tanpa kehadiran pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, beberapa perancangan sedang dirangka untuk dilaksanakan di kawasan tersebut termasuk seni jalanan atau street art dan pasar jalanan.
Katanya, perbincangan akan dijalankan bersama Majlis Daerah Kampar (MDKpr) bagi merealisasikan usaha menarik semula kehadiran pengunjung.
“Bandar Agacia sebenarnya adalah di luar kawalan kami (kerajaan negeri) kerana ia merupakan projek swasta. Ketika pandemik, pembangunan di kawasan berkenaan agak perlahan.
“Saya juga telah melawat dan bertemu pemaju untuk lihat apa perancangan mereka dan apa yang kerajaan negeri boleh bantu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Jelajah Integriti Pelancongan JIPS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2.0 di pejabat SPRM Meru Raya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Beliau berkata, kekurangan penggiat dan peserta di kawasan itu dipercayai menjadi punca keadaan suram di lokasi tarikan pelancongan tersebut.
“Sekarang ini, mereka sedang berusaha untuk mendapatkan peniaga kembali ke sana bagi meneruskan pembangunan seperti yang dirancang pihak swasta.
“Sekiranya mereka kembali beroperasi, kami memang ada perancangan di mana kita mungkin bantu dari segi seni dan pasar jalanan,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial berkaitan kegusaran warga maya mengenai keadaan Bandar Agacia yang kini sepi dan suram tanpa kehadiran pengunjung.
Rata-rata mereka meluahkan rasa terkilan apabila melihat banyak premis ditutup dengan keadaan bangunan tidak diselenggara selain warnanya yang kelihatan luntur. – UTUSAN