JOHOR BAHRU: Kerajaan menggariskan empat tindakan hala tuju untuk diberi penekanan dalam membangunkan pembangunan landskap negara pada masa hadapan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, tindakan itu bagi membolehkan keseimbangan dan kemampanan ekosistem negara terpelihara.
Katanya, tindakan hala tuju tersebut adalah melindungi aset landskap negara, mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap, memperkemas sistem jaringan landskap negara dan mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara.
“Saya mengharapkan agar pembangunan landskap pada masa 25 tahun akan datang menjadi lebih maju dan menawarkan kualiti landskap yang unggul untuk dinikmati oleh generasi mendatang dan segala usaha ini perlu bermula pada hari ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan merasmikan Hari Landskap Negara 2022 di Taman Ekoflora, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pembangunan landskap perlu juga dilihat dalam perspektif yang lebih ekonomik dan strategik.
“Selain daripada pelan pembangunan ekonomi yang terhasil daripada pembangunan Wilayah di Johor seperti East Coast Economic Region (ECER), Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) yang menjadi nadi keseimbangan ekonomi di sebelah selatan ini.
“Sudah tiba masanya juga untuk melihat landskap dan bunga-bungaan ini dalam kerangka industri baharu yang menjadi kawasan pertumbuhan baharu kepada negara,” ujarnya. – UTUSAN