Kementerian teliti perincian tambah baik kurikulum tahap satu

Kementerian teliti perincian tambah baik kurikulum tahap satu

RADZI Jidin ketika berucap dalam Program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan 2022 di Kuala Nerus, Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan sedang memperinci penambahbaikan yang boleh diambil untuk memperkasa lagi kurikulum tahap satu sekolah rendah yang dijadualkan tamat pusingannya, tahun ini. 

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap penambahbaikan atau perubahan yang dilakukan terhadap kurikulum berkenaan mengambil kira pelbagai sudut.

“Perubahan kurikulum tidak boleh ditengok secara kecil-kecilan sebaliknya melibatkan keseluruhan termasuk tahap satu, tahap dua, sekolah menengah dan seterusnya agar sukatan digunakan pada masa ini hingga akan datang terus relevan.

“Kita sedang memperinci mengenainya kerana pusingan kurikulum itu tamat tahun ini dan akan melihat apakah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, malam tadi. 

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Pendidikan perlu mengembalikan semula Sistem 3M (membaca, menulis dan mengira) untuk tahap satu sekolah rendah bagi menggantikan sukatan sekarang yang terlalu banyak dan menyebabkan masalah beg berat tidak pernah selesai.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad  berkata, sukatan pelajaran sekarang menyebabkan murid terikat dengan silibus yang ketat apatah lagi kebanyakan guru bergantung penuh kepada buku teks berbanding alat bantuan mengajar lain.

Menurut Anuar, langkah terbaik ialah melakukan transformasi dan semakan kurikulum untuk sekolah rendah khususnya tahap satu iaitu murid tahun satu hingga tiga yang menjadi punca kepada beg sekolah yang berat.

Dalam perkembangan sama, Radzi berkata, langkah penyusunan semula jadual waktu dengan  hanya tiga atau empat mata pelajaran diajar sehari bakal dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai satu penyelesaian menangani isu beg berat.

“Kementerian sedang meneliti pelaksanaannya. Jika kita mendapat kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa khususnya dalam mematuhi jadual ditetapkan, Insya-Allah dalam masa terdekat kita dapat selesaikan sedikit demi sedikit,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya