Kemenangan di PRN Johor, rakyat semakin selesa dengan BN

Kemenangan di PRN Johor, rakyat semakin selesa dengan BN

ROMZI ATIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keselesaan rakyat Johor terhadap parti sedia ada mungkin salah satu punca menyebabkan Parti Warisan (Warisan) yang diasaskan di Sabah gagal meraih sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, banyak lagi faktor lain yang harus dilihat susulan kegagalan Warisan meraih sebarang kerusi pada PRN Johor.

Pengundi Johor lebih yakin kepada parti yang sudah lama bertapak di Semenanjung Malaysia dan mereka melihat Warisan hanya sebagai parti baharu yang dipimpin oleh orang Malaysia Timur.

Beliau berkata, BN kelihatannya kembali mendapat sokongan rakyat di Johor dan juga Melaka.

“Ini menjadi petanda rakyat semakin selesa untuk kembali menyokong BN kerana faktor keyakinan kepada keupayaan BN untuk mentadbir berbanding pelbagai masalah yang berlaku di pihak lawan,” katanya.

Menurut beliau, peratusan keluar mengundi yang rendah di Johor tidak semestinya menjadi faktor kemenangan BN.

Jelas beliau, boleh diandaikan BN sewajarnya memperoleh majoriti lebih besar sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi kerana ada kemungkinan mereka yang tidak turun mengundi adalah mereka yang menyokong atau yakin BN boleh meraih kemenangan.

Walau bagaimanapun katanya, sama ada kejayaan itu petanda untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau sebaliknya, ia terpulang kepada BN/UMNO.

“Saya yakin BN/UMNO tahu apa yang perlu dibuat maka, terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan kerana kestabilan politik hanya akan dapat dicapai melalui pilihan raya,” katanya.

Pada PRN Johor semalam, BN mencatat kemenangan besar dengan memperoleh majoriti mudah setelah memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi manakala, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing memenangi satu kerusi. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya