PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRN) Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan parti.
Perdana Mentei dalam masa yang sama menyifatkan kemenangan besar itu adalah sesuatu yang di luar jangka.
“Ramai menjangkakan BN boleh menang tetapi dengan majoriti mudah atau 35 kerusi.Saya percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan. Dulu mereka tidak boleh membuat perbandingan sebab negara diperintah Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN.
“Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat,” katanya kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, rakyat kini mampu menilai potensi setiap parti yang memperjuang nasih dan membantu mereka.
“Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat. Disebabkan itu juga kita menang di Melaka. Dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan,” ujarnya.- UTUSAN