Kembara saya kini sebagai seorang ibu – Neelofa

Kembara saya kini sebagai seorang ibu – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMPIAN seorang wanita. Tatkala kaki telah melangkah ke sebuah fasa baharu dalam hidup, bermula daripada seorang isteri dan kemudiannya bergelar seorang ibu, semua itu adalah sebuah nikmat kurniaan Allah SWT yang tidak ternilai harganya.

Maka apabila bercakap mengenai perihal itu, selebriti terkemuka tanah air kita yang seorang ini juga mengaku bahawa dia kini benar-benar menikmati setiap detik yang dikurniakan Yang Maha Esa apalagi dalam statusnya kini sebagai seorang ibu.

Dalam suasana serba baharu, Noor Neelofa, mendakap kebahagiaan di hati apabila seputar hidupnya kini diserikan lagi dengan kehadiran anakanda sulungnya, Muhammad Bilal Muhammad Haris.

Lahir pada 29 Januari lalu, kehadiran Bilal nyata telah membuatkan sepenuh perhatian kini tertumpu padanya, menyerlahkan lagi sisi kematangan wanita berusia 34 tahun ini.

“Alhamdulillah, saya mensyukuri setiap detik itu. Pada hemat saya, setiap wanita bergelar ibu pun dapat merasakan benda yang serupa. Cuma yang membezakan kita adalah pengalaman masing-masing ketika melahirkan dan membesarkan anak.

“Sudah tentu saya pun melalui cabaran tersendiri. Tetapi, setiap kali rasa stres dan kemudian menatap wajah Bilal, semua rasa itu kemudiannya hilang…rasa tenang,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Neelofa, sukar untuk dirinya menjelaskan situasi atau cabaran yang dialami namun satu daripada pengalaman itu adalah bagaimana dia merasai tempoh berpantang.

“Maksud saya, sudah nama pun anak pertama bukan. Waktu berpantang adalah satu pengalaman yang menguji diri. Maklum sahajalah dalam keadaan kita yang masih sakit, masih belum sembuh. Badan pula sedang cuba untuk menyesuaikan situasi.

“Ketika itu, hormon pun ada turun naiknya. Itu belum lagi bagaimana saya sedang bergelut dengan keserasian untuk penyusuan badan untuk Bilal. Itu satu lagi hal untuk diceritakan. Tapi saya ini banyak bertanya dengan orang.

“Terutama dengan ibu, mak mentua dan kawan-kawan yang dah bergelar ibu. Mereka banyak membantu dan memberikan tips.Betullah kata orang, selepas 40 hari itu segala persoalan saya itu dan ini bagaikan sudah terjawab dengan sendirinya,”katanya

MULA BEKERJA
Kini sudah semakin pulih dan bertenaga, Neelofa juga sudah kembali menjengah dunia kerjaya setelah lama merehatkan diri dan menghabiskan tempoh berpantang.

“Tapi tak adalah terus-menerus nak kerja berat terutamanya untuk kerja-kerja seni. Saya buat secara perlahan-lahan. Tak adalah rancang nak fokus pada kerja sahaja. Senang cerita, yang mana sesuai dan okey dengan masa, saya akan terima.

“Yang mana belum lagi, saya simpan dulu atau ketepikan dahulu. Tengok pada situasi,”katanya.

Bagaimanapun, satu kelebihan dengan hadirnya Bilal kini, kata Neelofa, dia mampu menguruskan masa dengan lebih baik.

“Kalau cakap pasal masa, memang sekarang kena pandai uruskan dengan baik. Saya kena sesuaikan dengan masa Bilal. Itu adalah keutamaan saya sekarang. Tapi masa yang paling senang adalah ketika dia sedang tidur.

“Contohnya, kalau saya ada urusan di waktu pagi atau acara pagi, subuh lagi saya dah mandikan dan uruskan Bilal. Saya akan sesuaikan masa sebaik-baiknya.

“Tak adalah nak terlalu tegas sangat bab ini .Saya nak rasa relaks saja sama ada sedang buat kerja atau berada di rumah,” katanya.

CUMA MAHU LINDUNGI ANAK
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia masih lagi berpegang pada keputusannya untuk tidak mendedahkan wajah Bilal, Neelofa mengangguk mengiya.

Kata anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini, dia sedar begitu ramai peminat dan pengikut yang bertanyakan hal yang serupa. Malah, kata pelakon dan pengacara ini, pertanyaan itu diterimanya hampir setiap hari di media sosial.

Pun begitu, jauh di sudut hati, dia begitu berharap agar semua pihak dapat menerima baik keputusannya itu yang dikira juga baik untuk kesejahteraan Bilal.

“Tak boleh nak juga nak cakap lebih-lebih mengenai hal ini. Iyalah, dunia sekarang, dengan media sosial nya, trendnya…Nak kata saya ada jawapan yang tetap untuk soalan sampai bila nak simpan wajah anak itu daripada pengetahuan umum itu, saya pun tak ada jawapan itu.

“Ya, apa yang boleh saya katakan, untuk masa sekarang, saya pilih untuk tak nak letakkan Bilal di bawah cahaya dan dunia glamor itu. Rasanya itu yang terbaik buat dia,”katanya.

Tambah Neelofa, dia juga sedar, Bilal dilahirkan dengan latar belakang di mana kedua-dua ibu bapanya adalah orang seni.

“Iyalah, ‘malangnya’ saya ini dari dunia seni dan ayahnya juga terlibat dalam dunia yang sama walau arahnya berbeza. Haris lebih kepada bidang keagamaan. Jadi mungkinlah perhatian dan keinginan untuk orang nak tahu itu lebih buatnya.

“Tapi, sebolehnya kami berdua cuba elak. Senang cerita daripada penyakit ain itu, sebab kita tak tahu bukan bila-bila boleh terkena. Tapi nak cakap lebih pun, saya tak tahu diri ini kuat atau tidak untuk buat amalan-amalan yang menghindari perkara itu.

“Tapi sebolehnya kami cubalah untuk elak, untuk melindungi Bilal,”katanya.

PENYAKIT AIN
Menurut Neelofa, dia mengaku cukup bimbang andai penyakit sedemikian terkena pada anak-anak kecil maka sebolehnya ibu bapa harus memainkan peranan untuk melindungi cahaya mata masing-masing.

Namun katanya, jika sahaja seseorang itu tidak berada dalam lingkaran dunia seni yang penuh dengan tumpuan dan perhatian ini, barangkali mereka lebih beruntung dan bernasib baik.

“Nauzubillah… kalau terkena pada anak-anak kecil, rasanya ibu bapa yang akan pening kepala nanti. Jadi lebih baik ambil jalan selamat

“Kalau mereka tidak terlinbat dengan dunia hiburan atau tidak dikenali, mungkin lebih senang sebab perhatian itu tidak sebesar yang kita hadapi,”katanya.

PERANCANGAN UNTUK BILAL
Sementara itu, ditanya sama ada dia ada memikirkan usaha atau perancangan untuk ‘membawa’ Bilal secara tidak langsung ke dalam dunia perniagaan, Neelofa tidak menolak akan hal tersebut.

Menurutnya, ada antara perancangan tersebut adalah menerusi ideanya untuk menghasilkan barangan keperluan bayi.

Namun, hal itu terpaksa diketepikan dahulu kerana mahu menguruskan beberapa perkara lain.

“Adalah perancangan untuk itu. Malah, sebelum Bilal dilahirkan lagi. Saya rancang nak hasilkan barangan bayi tapi masih lagi tertangguh.

“Tapi saya tak nak orang salah faham. Benda begini sangat sensitif. Saya tak ada paksaan untuk hasilkan idea ini. Saya nak take it easy. Tak nak terlalu bercakap pasal anak ini.

“Saya benar-benar berharap agar orang boleh faham dan hormati keputusan ini,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sambutan Ramadan yang akan bermula tidak lama lagi, Neelofa memberitahu ia adalah apa yang dinanti-nantikan.

Malah dengan kehadiran putera kecilnya kini, bagi Neelofa ia akan lebih memudahkan urusan untuk beribadah dan menganggap Bilal mampu menjadi ‘jam penggera’ semulajadinya.

“Berpuasa dengan anak pada tahun ini, rasanya Bilal boleh jadi jam penggera semulajadi saya untuk bangun sahur. Atau mungkin saya boleh habiskan masa lebih untuk beribadah pada waktu malam, lebih mudah.

“Kiranya inilah peluang untuk ibu-ibu yang baru melahirkan. Kita boleh gunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk beribadah lebih,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya