Kembar siam pramatang pertama di Malaysia berjaya dipisahkan

Kembar siam pramatang pertama di Malaysia berjaya dipisahkan

SEKUMPULAN doktor pakar dan jururawat berjaya memisahkan kembar siam pramatang pertama di HTA, Kuala Lumpur. - FOTO/IHSAN HTA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Malaysia melakar sejarah apabila berjaya memisahkan kembar siam pramatang pertama seberat 2.7 kilogram (kg) semalam di Hospital Tunku Azizah (HTA), di sini dalam masa 66 minit tanpa komplikasi major.

Ia dilakukan sekumpulan 13 doktor pakar diketuai Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr. Zakaria Zahari serta enam lagi Pakar Bedah Kanak-Kanak dari seluruh negara.

Turut terlibat ialah pasukan bius kanak-kanak diketuai Pakar Perunding Bius Kanak-Kanak HTA, Dr. Intan Zarina Fakir Mohamed dan Pakar Perunding Bius Kanak-Kanak HTA, Dr. Ruwaida Isa serta hampir 20 jururawat dan kakitangan dewan bedah kanak-kanak. 

Dr. Zakaria berkata, pembedahan seumpamanya biasanya dilakukan pada umur tiga hingga enam bulan. 

“Namun disebabkan komplikasi ‘extrauterine twin-to-twin transfusion syndrome’, pasangan ini terpaksa menjalani pembedahan segera pada umur 17 hari.

“Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr. Maneet Kaur Ranjuth Singh untuk rawatan lanjut di HTA,” katanya dalam hantaran Facebook HTA di sini. 

Keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu disepakati selepas perbincangan di antara doktor-doktor pakar HRPB dan HTA secara atas talian pada 15 Mac pukul 2 petang.

Dalam pada itu, Dr. Zakaria berkata, kembar siam jenis ‘Omphalophagus’ ini didapati berkongsi bahagian hati (liver) dan organ-organ lain didapati normal.

“Proses persediaan untuk pembedahan dimulakan seawal pukul 7.30 pagi dan kedua-dua bayi kemudiannya dihantar balik ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) pada pukul 2 petang. 

“Dengan sokongan pasukan Neonatologi yang diketuai Pakar Perunding Neonatologi HTA, Dr. Neoh Siew Hong dan jururawat NICU HTA, diharapkan kedua-dua bayi ini dapat sembuh dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, semenjak pembukaan HTA, ini merupakan pembedahan ketiga dijalankan untuk pasangan bayi kembar siam. 

Pakar-pakar lain yang terlibat secara langsung dalam pembedahan tersebut ialah Pakar Perunding Bedah Kanak-Kanak, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Dr. Mughni Bahari; Pakar Perunding Bedah Kanak-Kanak, Hospital Raja Perempuan Zainab II Kelantan, Dr. Mohd Tarmizi Md. Nor; Pakar Perunding Bedah Kanak-Kanak HRPB, Dr. Nurdaliza Mohd. Badarudin dan Pakar Perunding Bedah Kanak-Kanak HTA, Dr. Hafatin Fairos Tamadun. 

Selain itu, Pakar Bedah Kanak-Kanak HTA, Dr. Mohd. Yusran Othman; Pakar Bedah Kanak-Kanak HTA, Dr. Cheng Joo Qing; Pakar Bius Kanak-Kanak HRPB, Dr. Rohanizah Alias; Pakar Bius Kanak-Kanak HTA, Dr. Zubaidah Zulkipeli dan Pakar Neonatologi HTA, Dr. Elaine Wong Ee Lane. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya