MELAKA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun untuk kegiatan penipuan Macau Scam, lima tahun lalu.
Majistret Nabiha Mohd. Noor menjatuhi hukuman terhadap tertuduh, Mohd. Syaifullah Ismail, 35, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menyembunyikan wang sebanyak RM2,400 iaitu hasil penipuan Macau Scam daripada penama, Zaini Abdullah, 45, melalui akaun Bank Rakyat miliknya.
Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 12.59 tengah hari di mesin juruwang automatik (ATM) Bank RHB di Aeon Bandaraya pada 23 Oktober 2017.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam daripada Biro Bantuan Guaman merayu agar hukuman penjara yang ringan dapat diberikan kerana tidak mampu membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 13 Januari lalu.
Dalam prosiding berasingan, seorang lagi tertuduh, Muhammad Amirullah Abdul Razak, 33, beralamat di Taman Kamunting Maju, Taiping, Perak turut didakwa atas kesalahan sama membabitkan wang sebanyak RM51,165.74 pada Februari tahun lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mendakwa tidak mengetahui bagaimana wang tersebut berada di dalam akaun Bank CIMB miliknya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dan sebutan kes pada 19 April depan. – UTUSAN