KOTA BHARU: Sebanyak 100 unit dron digunakan untuk melancarkan aktiviti membaja dan meracun di negeri ini, sekali gus membantu memperkasa sektor pertanian supaya seiring dengan Revolusi Industri 4.0.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, 80 unit dron terbabit di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).
Selebihnya pula kata beliau, milik persendirian petani, selain ada juga di bawah seliaan Jabatan Pertanian negeri dan kumpulan pertanian.
“Penggunaan dron sangat membantu petani terutama dalam projek pertanian berskala besar kerana melancarkan aktiviti seperti membaja dan meracun, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
“Kita berharap dapat memberi lesen mengendalikan dron kepada petani dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab soalan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd. Saripudin berkata, kerajaan negeri turut mengadakan kursus pengendalian dron kepada petani bagi membantu mereka mendapatkan lesen untuk mengendalikan sendiri dron.
Dalam usaha pendigitalan sektor pertanian pula kata beliau, kaedah Internet of Thing (IOT) dipraktikkan bagi membolehkan suhu, kelembapan, pH media tanaman, pembajaan dan meracun dikendalikan melalui telefon pintar.
“Kaedah Pendigitalan Geospatial Pertanian pula mampu mengenal pasti bentuk muka bumi, ciri tanah dan kecerunan.
“Selaras dengan perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 ini juga, kilang tanaman mula dibangunkan yang mana proses penanaman sayuran dibuat dalam bangunan supaya sayuran dapat mengeluarkan hasil berterusan sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN