Kelab Veteran Bersatu gesa rombakan parti

Kelab Veteran Bersatu gesa rombakan parti

JEMALE Paiman (dua dari kiri) dan Saifulanuar Yahya (kanan) pada sidang akhbar berhubung pendirian KVBM di Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuat rombakan pengurusan parti baik di peringkat kepemimpinan Pusat mahupun negeri untuk bangkit semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Kelab Veteran Bersatu Malaysia (KVBM), Datuk Jemale Paiman berkata, pentadbiran parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan Pusat dilihat bermasalah dan caca-merba selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, sudah tiba masanya penyusunan semula dilakukan bagi memberi suntikan baharu yang menaikkan semangat perjuangan parti itu.

“Kita mahu parti menjadi kuat semula, barulah kita boleh laksanakan visi dan misi yang jelas untuk rakyat serta negara selari dengan tuntutan Perlembagaan parti dan kehendak Perlembagaan negara,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia, Larkin, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Bendahari KVBM, Saifulanuar Yahya dan Ketua Penerangan kelab itu, Haron Ariffin.

Jemale berkata, biarpun keadaan parti terumbang-ambing, KVBM akan terus menyokong Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Dalam isu berlainan, beliau berkata, KVBM turut mendesak kerajaan Persekutuan tidak mengadakan PRU-15 sehingga tamat tempoh penggal pada 2023.

Katanya, kerajaan seharusnya memberi tumpuan terhadap isu kebajikan, keharmonian, pendidikan dan ekonomi rakyat walaupun didesak dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk membubarkan Parlimen. 

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan soal pokok seperti memulihkan ekonomi negara walaupun didesak untuk membubar Parlimen di PAU 2021,” katanya. 

Dalam pada itu, pihaknya berharap Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu dapat meneruskan dasar-dasar yang baik sebelum ini termasuk Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2019 – 2023 untuk diteruskan.

Bekas Pengerusi Perancangan Pembangunan Negeri Johor itu berkata, ini kerana PPMJ masih relevan dan wajar diteruskan dengan melakukan penambahbaikan bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa.

“Kita harap Menteri Besar yang baharu akan lebih agresif dan mempunyai perancangan bagi membuka semula peluang-peluang ekonomi supaya rakyat Johor ada kerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya