Kekalkan Masjid Kampung Belimbing Dalam di tapak asal - Utusan Malaysia

Kekalkan Masjid Kampung Belimbing Dalam di tapak asal

ABDUL Ghani Umar melihat keadaan masjid lama yang didakwa dibina seawal abad ke-17 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Biarpun Masjid Kampung Belimbing Dalam yang dikatakan telah wujud sejak abad ke-17 sudah ‘menyembah bumi’, penduduk tempatan berharap usaha pembinaan semula dapat dilakukan pihak berwajib di tapak asal, bukannya di lokasi baharu.

Ini kerana masjid lama yang menggunakan batu laterit tersebut menyimpan pelbagai memori, menjadi kebanggaan penduduk sebagai bukti lokasi itu pernah menjadi antara pusat pengembangan syiar Islam terawal di Melaka.

Tinjauan akhbar ini mendapati, terdapat pita berwarna merah dipercayai dipasang Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di sekeliling struktur runtuhan masjid, serta papan tanda amaran melarang sebarang bentuk pencerobohan.

Utusan Malaysia difahamkan, ia sedang dalam usaha untuk pembinaan semula di lokasi baharu, namun belum diputuskan secara muktamad oleh kerajaan negeri.

Antara kawasan yang disebut-sebut adalah di Bukit Melaka atau nama lamanya Bukit St. Paul.

Ketika ditemui, anak jati Kampung Belimbing Dalam, Abdul Ghani Umar, 60, berkata, pembinaan semula perlu mengambil kira nilai sejarah tapak asal, selain memberi peluang kepada orang luar terutamanya pengkaji sejarah dan pelancong untuk datang ke situ.

“Secara peribadi, kalau boleh pembinaan semula masjid lama ini biarlah dibina di tapak asalnya kerana ia menjadi nilai tambah kepada Kampung Belimbing Dalam. Sarjana, ilmuwan dan pelancong juga dapat melihat sendiri kawasan tapak asal masjid ini.

“Selain itu, tapak asal sebenarnya dibina di atas tanah wakaf dan dirasakan lebih baik ia kekal di situ. Namun, terserah kepada pihak berwajib apa keputusan yang dirasakan terbaik untuk pemuliharaan masjid warisan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Belimbing Dalam, Salim Mohamed mengesahkan, tapak itu telah diambil alih sepenuhnya Perzim sejak awal tahun ini.

Menurutnya, Perzim telah mengambil bahan-bahan binaan yang ada di situ untuk kajian menentukan usia, kaedah pembinaan dan bahan yang digunakan.

“Saya ada berbincang dengan Perzim agar pembinaan semula masjid ini dikekalkan di tapak asal. Ini kerana ia telah menjadi satu sejarah kepada Kampung Belimbing Dalam.

“Perzim memberitahu memandangkan struktur bangunan banyak yang telah rosak dan memerlukan kos baik pulih yang tinggi, maka ia tidak lagi sesuai untuk dibina di tapak asal.

“Walaupun struktur masjid dipindahkan ke lokasi baharu, namun tapak asalnya akan dipelihara untuk dikaji oleh golongan ilmuan yang datang ke kampung ini,” katanya.

Setakat berita ini ditulis, usaha Utusan Malaysia bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini gagal apabila Pengurus Besar Perzim, Dr. Mohd Nasruddin Rahman yang dihubungi enggan memberikan sebarang respons. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya