Kekal jual ayam gunting RM8 biarpun barang mentah mahal - Utusan Malaysia

Kekal jual ayam gunting RM8 biarpun barang mentah mahal

AZIMI Abdul Razak (kanan) menjual ayam gunting di Pekan Sehari Jerantut di Jerantut, Pahang dengan harga RM8 sekeping walaupun harga ayam dan barangan semakin meningkat. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peniaga ayam gunting mengekalkan harga jualannya pada harga RM8 sekeping walaupun harga ayam, tepung dan keperluan lain meningkat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga, Azimi Abdul Razak, 30, berkata, harga jualan sebenarnya bergantung kepada pembekal yang membekal barangan perniagaan kepada peniaga.

“Jika pembekal memberikan harga murah, maka dapatlah peniaga mengekalkan harga jualan pada harga lama. Jika pembekal menaikkan harga barangan, peniaga juga terpaksa menaikkan harga jualan juga,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut isu harga ayam gunting yang tular sebelum ini yang didakwa sehingga mencecah RM15 sekeping, Azimi berkata, ia berkemungkinan bergantung kepada saiz ayam tersebut yang mungkin dijual pada saiz yang lebih besar.

“Tambahan pula sekarang semua orang sedia maklum harga barangan keperluan semakin meningkat jadi mungkin peniaga terbabit terpaksa menaikkan harga,” katanya.

Azimi dalam pada itu mengakui turut terpaksa menaikkan harga ayam gunting yang dijual pada harga RM7 sebelum ini kepada RM8 sejak awal tahun lalu berikutan harga ayam di pasaran yang semakin meningkat.

“Itu pun saya tidak ambil untung banyak berbanding mula-mula berniaga sekitar empat tahun lalu. Saya naikkan harga kerana harga ayam naik, walaupun minyak, tepung, dan lain-lain bahan yang turut mengalami kenaikan harga.

“Kenaikan harga barangan memang sangat memberi kesan kepada kami peniaga sehinggakan ada yang terpaksa menaikkan harga makanan justeru sebagai peniaga, saya berharap agar pembeli memahami situasi ini,” katanya.

Beliau yang berniaga di Pekan Sehari Jerantut itu turut memaklumkan akan berniaga di bazar Ramadan Jerantut sepanjang bulan puasa nanti.

“Sebagai persiapan berniaga bulan puasa nanti, saya perlu memastikan segala barangan mencukupi dan ada antaranya yang saya telah beli dan simpan sebagai stok kerana bimbang bekalan terputus sepanjang berniaga di bazar Ramadan nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya