‘Kejayaan ini untuk arwah ayah’

‘Kejayaan ini untuk arwah ayah’

NUR SYAHIRAH MOHD. ZAINI (kanan) bersama ibunya yang memakai jubah meraikan kejayaan cemerlangnya yang dianugerahkan Pingat Emas Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Unimap ke-15 yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Kejayaan Nur Syahirah Mohd. Zaini, 26, yang dianugerahkan Pingat Emas Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-15 dihadiahkan kepada arwah bapanya yang meninggal dunia, Julai tahun lalu.

Meskipun terkilan tidak sempat berkongsi detik manis tersebut, Nur Shahirah tetap mengenang pengorbanan insan kesayangannya itu yang menjadi pedoman dia bergelar graduan cemerlang.

Katanya, Allahyarham Mohd. Zaini Mohd. Yaacob meninggal dunia disebabkan masalah buah pinggang dan komplikasi lain.

“Dahulu semasa sihat, bapa menjalankan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan. Tidak lama kemudian, bapa berhenti kerana kesihatan yang semakin merosot.

“Walaupun bapa tidak mampu melihat dan bergerak sendiri serta perlukan sokongan orang lain, dia sangat mengambil berat perkembangan anak-anak terutama melibatkan pelajaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Istiadat Konvokesyen Unimap ke-15 di Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, di sini semalam.

Anugerah Pingat Emas Canselor tersebut disampaikan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang dilantik semula sebagai Canselor Unimap untuk tempoh tujuh tahun lagi.

Tambah anak kedua daripada lima beradik itu, sebelum ini, ibunya, Wan Zalella Wan Sembok, 51, sentiasa melaporkan perkembangan berkaitan pelajarannya kepada bapanya yang sentiasa memberi kata-kata semangat meskipun kesihatan sudah merosot.

“Saya masih ingat lagi ketika saya mula mendaftar di Unimap, ayah menggagahkan diri menghantar saya walaupun terpaksa dipapah keluar dari kenderaan.

“Terima kasih ayah kerana menyokong saya sejak kecil sehingga berjaya memperoleh kejayaan pada hari ini,” katanya sebak sehingga mengalirkan air mata.

Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan Produk) itu, seandainya bapa masih hidup, pastinya dia menjadi insan paling gembira dengan kejayaan ini.

“Banyak perkara yang dipelajari mengenai kehidupan sepanjang berada di Unimap selain berjaya mengubah diri menjadi seorang yang lebih cekal dan tabah menghadapi cabaran,” katanya yang kini bekerja sebagai Eksekutif Operasi Top Glove Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya