SEREMBAN: Hilang tempat berteduh sekelip mata. Itulah yang dialami sebuah keluarga apabila rumah yang didiami mereka di Jalan Temiang di sini musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Mahadi Abdullah, 42 berkata, ketika kebakaran itu berlaku, dia bersama isteri dan lima orang anak berada di dalam rumah namun sempat menyelamatkan diri sebelum api merebak dan memusnahkan rumahnya.
“Ketika kejadian, saya masih belum tidur dan dapati ada api bermula dari stor besi bersebelahan rumah saya. Saya segera kejutkan anak-anak yang sedang tidur dan segera keluar dari rumah.
“Saya juga sempat menghubungi bomba sebelum api marak dan memusnahkan rumah saya sekelip mata. Bagaimanapun, saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang berharga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Mahadi, dia bersyukur kerana isteri dan anak-anak berusia empat hingga 15 tahun yang tinggal bersama terselamat dalam kebakaran itu.
Menurut Mahadi, rumah yang terbakar itu adalah sebuah rumah sewa hasil bantuan seorang aktivis kebajikan yang turut membayar deposit sewa rumah berkenaan bagi tempoh tiga bulan.
“Selain membayar sewa rumah, aktivis itu juga turut memberikan dua buah katil, tilam, bantal serta rak baju kepada keluarga kami,” jelasnya.
Difahamkan juga, pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut melawat keluarga berkenaan pagi tadi.
Sementara itu, pemilik stor besi berkenaan, Lim Kim Eng, 62, berkata, dia agak terkejut dengan kejadian itu dan turut mengalami kerugian hampir RM40,000.
“Saya agak terkejut kerana saya sudah berniaga di sini lebih 40 tahun dan ini kejadian pertama menimpa kedai stor besi ini. Saya dimaklumkan mengenai kebakaran ini oleh seorang rakan yang tinggal berdekatan,” katanya.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.06 pagi semalam. – UTUSAN