Kebakaran IPD Sepang: Tiada unsur khianat dan jenayah ditemukan - Utusan Malaysia

Kebakaran IPD Sepang: Tiada unsur khianat dan jenayah ditemukan

KEADAAN IPD Sepang ketika mengalami kebakaran. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada unsur khianat dan jenayah ditemukan susulan insiden kebakaran membabitkan beberapa bilik utama di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, perkara itu disahkan pegawai daripada Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.

Beliau berkata, pasukan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Azlan Rahmat tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.30 malam tadi bagi menyiasat punca kebakaran dibantu Unit  Anjing Pengesan (K9).

“Selepas pemeriksaan selama dua jam, bomba mengesahkan tiada unsur khianat atau jenayah dikesan susulan kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati, kebakaran disyaki berpunca daripada pejabat pentadbiran Bahagian Siasatan Jenayah dan seterusnya merebak ke Pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (SIO) serta bilik mesyuarat Bahagian Siasatan Jenayah.

Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat-pejabat di Bahagian Siasatan Jenayah mengalami kerosakan akibat kebakaran itu, namun tiada kertas siasatan musnah dalam kebakaran itu.

“Lain-lain kerosakan yang dikenal pasti, termasuk gangguan talian internet bagi Integrated Police Reporting System (IPRS) kerana kabel fiber optik terbakar,” katanya.

Dalam kejadian itu, tiga bilik utama membabitkan Pejabat Pentadbiran Bahagian Siasatan Jenayah, Pejabat SIO dan Bilik Mesyuarat Bahagian Siasatan Jenayah musnah dalam kebakaran kira-kira 6.25 petang semalam.

Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal 10 minit kemudian oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya