“GAGAH DAN SETIA, tabah dan perkasa”. Cogan kata dan dua baris pertama lagu Tentera Darat sudah cukup menggambarkan semangat pahlawan ini dalam mempertahankan tanah air sejak ditubuhkan 1 Mac 1933.
Bayangkan dengan hanya 25 anak muda sebagai nukleus pertama, kini Tentera Darat mempunyai 17 rejimen terdiri daripada pelbagai kepakaran bagi memastikan setiap inci tanah air bebas daripada ancaman musuh.
Malah kejayaan Tentera Darat telah tercatat sejak awal penubuhannya sehingga sekarang.
Kini selepas 89 tahun ditubuhkan, Tentera Darat terus mengalami revolusi dan modernisasi sama ada daripada segi aset serta anggota.
Menyentuh berkenaan anggota, ia bukan sahaja melibatkan pertambahan, sebaliknya turut melibatkan kebajikan.
Sebab itulah tema sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Tentera Darat kali ini ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ dipilih.
Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, tema ini dipilih bagi meningkatkan moral serta semangat pegawai mahupun anggota ketika melaksanakan tugas agar lebih baik dan berkesan.
“Saya percaya, apabila kesejahteraan dan kebajikan ini terpelihara dan dijaga, tugas-tugas lain yang melibatkan Tentera Darat juga akan berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Zamrose, fokus kebajikan akan diberi perhatian tahun ini menerusi Tonggak Ketiga Perintah Ulungnya iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga kerana ia aset dan tonggak utama dalam sesebuah organisasi.
“Tentera Darat sentiasa melaksana proses modenisasi dan peningkatan keupayaan dari segi aset seiring perkembangan semasa. Namun, aspek kesejahteraan dan kualiti hidup juga wajar diberi perhatian.
“Ini kerana, sumber manusia inilah yang menjadi aset penting bagi memacu setiap pembaharuan yang dilaksanakan. Setiap pegawai dan anggota perlu berada dalam kondisi terbaik serta sentiasa bermotivasi dalam pelaksanaan tugas mereka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Zamrose berkata, bertepatan tema tersebut, beliau akan terus memberi tumpuan melengkapkan warganya dengan kediaman lebih selesa.
Menurut beliau, ketika ini terdapat tujuh projek perumahan baharu sedang dilaksanakan di seluruh negara dan akan siap pada tahun ini untuk manfaat 1,031 keluarga.
“Projek seperti ini akan diteruskan dan keutamaan akan diberi kepada kawasan yang masih menghadapi kekurangan rumah keluarga yang ketara dan yang mempunyai kos sewa rumah yang tinggi,” katanya.
Kata Zamrose, berdasarkan unjuran yang dilaksanakan, Tentera Darat masih memerlukan 21,120 kediaman baharu bagi memenuhi keperluan pegawai dan anggota di seluruh negara.
Namun begitu, ujarnya, Tentera Darat memahami bahawa pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) ini memerlukan peruntukan tinggi dan hanya boleh dilaksanakan secara berperingkat selain bergantung peruntukan kewangan kerajaan.
Setakat ini, ujar Zamrose, beberapa projek perumahan baharu dalam perancangan dengan melibatkan lokasi seperti di Hutan Melintang, Sibu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Belud, Tawau dan Gemas yang melibatkan hampir 3,000 unit kediaman.
Projek-projek masih di dalam proses perolehan dan dijangka boleh disiapkan menjelang tahun 2024 hingga 2026.
Dalam pada itu, Zamrose berkata, bagi menampung keperluan perumahan sedia ada, Tentera Darat melaksanakan sewaan rumah secara berkelompok di kem-kem yang tidak mempunyai rumah keluarga mencukupi seperti di Bintulu, Tawau, Lahad Datu dan Bera, Pahang.
Tambah beliau, konsep sewaan ini akan diteruskan bagi menampung keperluan sedia ada supaya anggota-anggota tidak perlu membayar kos sewa rumah yang tinggi.
Selain projek perumahan, menurut Zamrose, Tentera Darat juga mewujudkan pelbagai inisiatif kebajikan untuk veteran perkhidmatan itu menerusi tabung kebajikan diselia oleh perkhidmatan itu.
“Disamping itu, kita turut mendapat bantuan serta sumbangan agensi-agensi seperti lembaga zakat, syarikat-syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan.
“Inisiatif-inisiatif ini akan diteruskan dan akan sentiasa diperbaiki di dalam jangka masa panjang,” jelasnya.
Menyentuh tentang kebajikan veteran, Zamrose berkata, Tentera Darat akan meneruskan Projek Jiwa Murni bagi membaik pulih atau membina rumah baharu kepada mereka melalui peruntukan yang diterima termasuklah daripada Kementerian Pertahanan.
Bagi meningkatkan kompetensi sumber manusia di dalam Tentera Darat, Zamrose berkata, pihaknya menyediakan peluang kepada anggota mengikuti pengajian sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa di institusi-institusi pengajian yang terpilih.
Katanya, peluang pengajian diberikan bermula dari peringkat Diploma sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) merangkumi pelbagai bidang.
“Pada tahun 2021, seramai 77 anggota termasuk pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) dipilih menyambung pengajian tinggi di dalam pelbagai bidang sama ada dengan peruntukan yang disalurkan adalah RM3.57juta.
“Bagi tahun 2022, sebanyak RM1.57 juta lagi telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut. Dengan pengetahuan dan kelayakan yang mereka perolehi, mereka akan dapat memberikan sumbangan yang lebih berkesan seterusnya meningkatkan kompetensi Tentera Darat secara keseluruhan,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas berkenaan pendidikan anak anggota, Zamrose berkata, biasiswa RM1,000 disediakan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) melalui Program Bantuan IPTA dan Skim Pinjaman Akademik Anak-Anak ATM-SPAAT.
Bantuan tersebut diberi di bawah Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) yang menawarkan pinjaman tanpa faedah kepada anak-anak anggota yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPT.
Sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota semasa dalam perkhidmatan, Tentera Darat menyediakan beberapa inisiatif supaya mereka ini dapat menghadapi persaraan mereka dengan lebih baik.
Menurut Zamrose, pihaknya tidak mahu mereka ini terjerumus di dalam masalah kewangan dan ekonomi selepas bersara, terutamanya di dalam situasi ekonomi pada ketika ini.
“Pertama, Tentera Darat telah melaksanakan inisiatif mengiktiraf kemahiran serta kursus supaya ilmu serta kemahiran yang dimiliki dapat dimanfaatkan setelah menamatkan perkhidmatan.
“Tahun lalu, seramai 254 anggota telah memperolehi Diploma Kemahiran Malaysia menerusi penilaian Recognition Of Prior Experiential Learning (RPEL) yang dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran. Kos keseluruhan bagi yuran pembelajaran ini ditanggung oleh perkhidmatan.
“Tentera Darat juga telah berjaya melaksanakan buat julung kalinya Projek Perintis Kerjaya Kedua Lain-lain Pangkat Tentera Darat yang melibatkan 100 bakal pesara.
“Mereka diberikan pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan potensi diri dalam mengenal pasti peluang pekerjaan setelah bersara.
“Dalam tempoh tiga bulan, mereka telah dibimbing Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (Perhebat) dengan kerjasama syarikat korporat dan dipantau oleh saya sendiri. Projek ini akan diteruskan pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN