MIRI: Seramai 14 orang anak Sarawak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, hari ini diberi surat keputusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keputusan tersebut telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh Kementeri Dalam Negeri (KDN).
“Terdapat 14 orang yang telah mendapat kelulusan Menteri Dalam Negeri, namun yang dapat hadir untuk menerima surat masing-masing hari inu hanyalah enam orang yang tinggal di sekitar Miri.
“Antara agenda mesyuarat hari ini termasuk pembentangan syor permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dari negeri Sarawak,” kata Fatimah.
Enam dariada mereka hadir pada majlis penyerahan surat berkenaan daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah sempena Mesyuarat Khas Jawatankuasa Status Kewarganegaraan Peringkat Negeri Sarawak (JKKSK) di sini hari ini.
“Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan sebanyak 73 permohonan dibentangkan kepada jawatankuasa dan daripada jumlah tersebut 45 permohonan daripada kategori anak tidak sah taraf, 15 permohonan daripada kategori anak jagaan dan 13 permohonan daripada kategori anak angkat.
“Kesemua 145 permohonan yang telah dibentangkan dan mendapat syor daripada jawatankuasa ini pada mesyuarat yang lalu telah diangkat oleh pihak urusetia jawatankuasa itu kepada pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan pertimbangan keputusan Menteri Dalam Negeri,” tambah beliau.
Pada mesyuarat kali ketiga jawatankuasa hari ini sejak ia ditubuhkan, Fatimah memaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Haji Yunus dan
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamad Fauzi Md Isa merupakan ahli-ahli baru Mesyuarat JKKSK Sarawak yang dipersetujui Menteri Dalam Negeri.
Beliau berharap dengan kehadiran ahli-ahli baru JKKSK ini dapat meningkatkan lagi keberkesanan jawatankuasa berkenaan.
Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak Abang Noraffian Abang Haji Ibrahim, Pengarah Bahagian Warganegara, Jabatan Pendaftaran Negara Siti Maslinda Mardi, serta urusetia daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sarawak.- UTUSAN