KDM sedia hadapi PRU-15

KDM sedia hadapi PRU-15

PETER Anthony (dua kanan) menyampaikan permohonan menyertai GRS kepada Hajiji Noor (tengah) dalam majlis pelancaran parti KDM di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan adanya sokongan yang kuat di peringkat akar umbi.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata, kini mereka hanya menunggu keputusan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengenai permohonan KDM menyertai gabungan parti politik yang baharu didaftarkan itu.

Beliau berkata, biarpun parti ini baharu sahaja didaftarkan namun, sokongan di peringkat akar umbi sudah bermula sekian lama jadi, tiada masalah untuk KDM berhadapan dengan sebarang kemungkinan sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

“Di kawasan kita seperti Tenom dan Papar, tiada masalah. Begitu juga dengan kawasan lain.

“Walaupun keadaan di Johor didominasi oleh parti-parti yang berasal dari Semenanjung namun, saya percaya seperti dimaklumkan Ketua Menteri tadi bahawa lain padang, lain belalang. Apa pun kita tunggu keputusan yang akan dibuat Pengerusi GRS,” katanya selepas majlis pelancaran KDM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Bekas Naib Pesiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor sudah pasti desakan PRU15 akan dibuat maka, di peringkat negeri Sabah tiada masalah untuk berhadapan dengan PRU susulan kerjasama yang dibuat menerusi GRS.

Menurutnya, beliau bersikap terbuka terhadap sebarang pandangan mahupun teguran yang membina kepada parti yang baharu ditubuhkan itu.

Mengulas lanjut katanya, surat permohonan KDM menyertai GRS sudah dikemukakan kepada Hajiji maka, sebarang pandangan daripada komponen GRS diterima sebagai suatu yang positif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, sudah sampai masanya untuk semua parti melakukan gencatan politik dan bekerjasama bagi membangunkan Sabah.

“Pergolakan politik dan pergaduhan antara parti-parti politik harus dihentikan supaya Sabah dapat dimajukan. Lebih baik kebersamaan yang ada kita pupuk untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Saya tidak fikir ahli-ahli politik boleh berkekalan selamanya kerana bagi saya sendiri, suatu hari nanti saya meninggalkan arena politik juga jadi, kenapa kita tidak bersatu sekarang, demi kebaikan negeri dan rakyat Sabah,” katanya.

Mengenai keahlian KDM, Peter berkata, beliau akan mengadakan siri jelajah di seluruh Sabah bagi memudahkan kemasukan ahli-ahli baharu ke dalam parti tempatan yang berbilang kaum itu. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya