PUTRAJAYA: Sebuah kapal tangki dengan bendera Rusia yang enggan diterima pelabuhan negara ini, dilaporkan telah menukar namanya untuk memasuki perairan Malaysia.
Inda yang dimiliki sebuah syarikat Greece itu dijangka tiba Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Melaka pukul 1 pagi 9 Mac ini berbanding perancangan asalnya pada hari ini.
Kelewatan tersebut difahamkan bagi membolehkan kapal; yang juga dikenali Lady M sejak 2014 lalu dengan panjang 249 meter itu, sempat menukarkan nama badannya.
Kapal yang siap dibina pada 2003 di limbungan Sanoyas Mizushima di Kurashiki, Jepun itu; asalnya diberikan nama Montigny oleh pemiliknya, Atlas Maritime di ibu kota Greece, Athens.
Ia kemudian dikenali sebagai Linda pada 2020 lalu sebelum huruf L pada pangkal namanya dipadam ketika berada di perairan Teluk Bengal masa ini bagi belayar melintasi Selat Melaka.
KLIP pada 1 Mac lalu memaklumkan telah menolak hasrat kapal seberat 61,991 tan itu; singgah di terminal terapungnya yang terletak 500 meter dari daratan Daerah Masjid Tanah.
Keputusan drastik itu dibuat agar tidak melanggar sebarang sekatan antarabangsa sebagai tindak balas Barat ekoran pencerobohan Rusia ke atas jirannya, Ukraine akhir bulan lepas.
Media pro-Amerika Syarikat (AS) mendakwa kononnya kapal itu disenarai hitam dalam sekatan sejagat kerana sering mengangkut minyak mentah bergred tinggi dari Iran secara rahsia.
Ironi, kapal dengan nombor pendaftaran Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) 9256858 itu didaftarkan di Monrovia dan diuruskan firma Marwave berpangkalan di Amsterdam, Belanda.
Bagaimanapun ia mengibarkan bendera Rusia kerana kebetulan dikemudi oleh warga Rusia, Sergei Kondratiuk, padahal sebelum 2019, kapal ini memasang bendera Liberia dan Marshall.
Ketua pegawai berusia 50 tahun dan berasal dari Saint Petersburg itu, tiada dalam senarai hitam pihak Barat malah memiliki visa sah memasuki AS dan negara anggota Kesatuan Eropah.
Berdasarkan rekod laman jejak perkapalan popular antarabangsa, Vessel Tracker, kapal itu hanya dipandu perlahan 4.6 knot dari destinasi akhirnya, Sohar di Oman pada 4 Februari lalu.
Tidak dapat dipastikan sama ada Linda atau Inda, akan mengibarkan bendera Belanda, Greece atau Monrovia kerana secara teknikal ia bukannya kapal milik mana-mana syarikat Rusia.
Sepanjang tahun lepas, ia pernah berlabuh di KLIP sebanyak tiga kali dan untuk tahun ini, ia sepatutnya menuju ke Tanjung Pelepas di Johor sebelum dibatalkan operator pelabuhan itu. – UTUSAN