‘Kami rakyat Malaysia, mahu penempatan selesa’ - Utusan Malaysia

‘Kami rakyat Malaysia, mahu penempatan selesa’

AKTIVITI penerokaan tanah untuk pembinaan rumah masih berlaku di perkampungan haram Bukit Malut, Langkawi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk di perkampungan haram Bukit Malut di sini kecewa terhadap kerajaan negeri yang lambat bertindak dalam menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu yang semakin padat.

Kebanyakan penduduk terbabit yang mendakwa bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia mahu diberi perhatian memandangkan mereka selama ini dipinggirkan oleh kerajaan.

Penduduk di kawasan itu bukan mahu kerajaan memberi layanan istimewa kepada mereka, sebaliknya sekadar diberi perhatian yang sama seperti rakyat Malaysia lain.

Seorang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Tepa, Bukit Malut, Taufik Abdullah, 47, berkata, penduduk di perkampungan itu juga mempunyai hak untuk diberi penempatan yang lebih baik memandangkan mereka adalah rakyat Malaysia.

Menurutnya, selama ini, penduduk Bukit Malut terpaksa hidup dengan stigma buruk orang ramai dan mereka seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan.

Katanya, berdasarkan rekod, jumlah penduduk di perkampungan tersebut dianggarkan seramai 4,000 orang dan mempunyai kira-kira 1,100 buah rumah.

“Kerajaan negeri sewajarnya memberi perhatian terhadap isu penempatan di Bukit Malut. Pada masa ini, penduduk memerlukan penempatan yang tersusun dan bersih untuk keselesaan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Utusan Malaysia pada 31 Mac 2021 melaporkan penempatan baharu penduduk di Bukit Malut tidak akan melibatkan lokasi asal yang didiami secara haram di tanah kerajaan negeri ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan, penduduk terlibat sebaliknya dirancang untuk dipindahkan di dua lokasi berhampiran di atas tanah milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Menurutnya, kerajaan negeri telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan tersebut dan hanya menanti tindakan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memindahkan mereka yang terlibat.

Kawasan penempatan haram tersebut dibuka sejak awal tahun 80-an.

Taufik menambah, keadaan rumah penduduk di perkampungan tersebut didapati semakin padat dan keadaan itu akan menjadi lebih parah sekiranya kerajaan tidak melakukan sebarang usaha untuk menyusun semula penempatan dalam masa terdekat.

“Jumlah penduduk semakin bertambah di Bukit Malut dan dijangka terus meningkat selepas ini sekiranya kerajaan tidak melakukan proses penyusunan semula penempatan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Imam Masjid Bukit Malut, Abdullah Mohd., 71, berkata, dia difahamkan kali terakhir bancian bagi mengenal pasti penduduk yang layak untuk mendapat petempatan baharu dilakukan kira-kira lima tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, selepas itu, isu penempatan baharu yang tersusun di kawasan ini berlarutan sehingga sekarang dan tidak diketahui bila akan dapat diselesaikan.

“Proses menyusun semula penempatan ini wajar dipercepatkan bagi mengelakkan kawasan ini menjadi lebih padat,” katanya.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Mohammad, 45, berkata, kerajaan perlu mempertimbang untuk mengekalkan mereka di lokasi sekarang berbanding memindahkan mereka ke tempat lain.

“Lebih 80 peratus penduduk di sini bekerja sebagai nelayan dan mereka mahu kekal di kawasan ini untuk memudahkan mereka mencari rezeki di laut,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di perkampungan haram itu mendapati beberapa penduduk masih membina rumah baharu di tanah milik kerajaan dan syarikat swasta.

Malah, aktiviti meneroka kawasan baharu di perkampungan itu untuk membina rumah masih berlaku tanpa sebarang tindakan diambil oleh kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya