PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memimpin delegasi Malaysia pada Sesi Ke-48 Majlis Menteri Luar (CFM) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Pakistan.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, persidangan yang berlangsung di ibu kota Islamabad selama dua hari bermula hari ini dan ia juga mesyuarat CFM kali pertama tahun ini.
“Beliau turut diiringi para pegawai Kementerian Luar manakala persidangan tersebut membawa tema khas Perkongsian Kerjasama demi Kesatuan, Keadilan dan Pembangunan,” katanya.
Pakistan selaku tuan rumah mengetuai mesyuarat tersebut dengan Menteri Luarnya, Makhdoom Shah Mahmood Qureshi sebagai pengerusi sepanjang sesi berkenaan hingga esok.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha selain juga disertai jemputan Utusan Khas dari negara bukan anggota antaranya ialah Britain, Jerman, Perancis dan Kanada.
CFM kali ini akan membincangkan pelbagai isu berkaitan ummah meliputi politik, ekonomi dan sosio-budaya di samping diadakan sesi percambahan minda membabitkan peringkat menteri.
“Ia akan membahaskan tajuk ‘Peranan Dunia Islam dalam Pemupukan Perdamaian, Keadilan dan Keharmonian’ yang berlangsung ketika selingan antara mesyuarat,” jelas Wisma Putra.
Kamarudin dijadual menyampaikan pendirian negara pada sesi tersebut dengan tumpuan kepada penyelesaian Malaysia ke atas isu Palestin dan usaha pembaharuan berterusan OIC.
Dalam masa sama, beliau juga bakal mengutarakan solidariti kemanusiaan kepada Afghanistan yang agak kritikal ekoran peralihan kuasa dan sekatan dunia Barat terhadap rizab negara itu.
Wisma Putra menambah, beliau turut berpeluang mengadakan pertemuan berasingan dengan rakan sejawatannya dari pelbagai negara bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.
Penganjur persidangan juga mempelawa beliau sebagai tetamu kehormat sesi Perarakan Hari Pakistan bagi memperingati ulang tahun ke-75 pembentukan negara Islam itu esok
“Mesyuarat tahunan itu kelazimannya akan menilai semula kemajuan keputusan terdahulu dan menyelaraskan segala resolusi ditetapkan pada CFM sebelumnya,” terang Wisma Putra. – UTUSAN