PASIR PUTEH: Peniaga kuih tersohor, Kak Dah merancang menaikkan akok kedut jualannya 10 sen pada Ramadan ini, biarpun kos bahan mentah untuk membuat kuih tradisi itu berterusan naik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kak Dah atau nama sebenar Nik Hamidah Nik Man, 70, yang berniaga di Pasar Siti Hajar di sini berkata, sebelum ini dia menjual akok kedut pada harga 50 sen sebiji.
“Bermula 1 Ramadan nanti, harga akok kedut yang saya jual akan dinaikkan 10 sen menjadi 60 sen sebiji. Saya sudah uar-uarkan lebih awal kepada pelanggan setia supaya mereka tidak terkejut.
“Saya fikir kenaikan itu tidaklah membebankan sangat. Lagipun jika tidak dinaikkan, saya pula yang rugi kerana harga barang mentah terutama telur, tepung beras dan gula sedang meningkat,” katanya ketika ditemui semalam.
Kak Dah yang berniaga akok kedut sejak 25 tahun lalu berkata, walaupun membuat keputusan untuk menaikkan harga, dia tetap mencari jalan tersendiri untuk bersedekah kepada pelanggan setia.
“Bagi satu bekas besar akok kedut, saya jual dengan harga RM5, tetapi bekas itu berisi 11 biji akok. Sebiji akok yang lebih itu adalah sedekah saya kepada pelanggan jika mereka membeli satu bekas,” katanya.
Dalam kalangan penduduk di Pasir Puteh, akok kedut Kak Dah cukup popular sehingga wanita itu mampu menjual sehingga 600 biji sehari, manakala sepanjang Ramadan pula, jualannya meningkat sehingga 5,000 biji sehari.
Bercerita lanjut, Kak Dah berkata, beberapa tahun lalu, dia hanya menjual akok kedut dengan harga 20 sen sebiji kerana bahan mentah masih murah dan senang untuk diperolehi berbanding sekarang.
Kini katanya, harga bagi 10 kilogram tepung beras sudah mencecah RM45 manakala telur gred A pula berharga RM48 untuk 100 biji.
“Sepanjang Ramadan kelak, saya memerlukan 1,000 biji telur gred A. Hanya telur ayam jenis ini saya gunakan supaya akok kedut yang dihasilkan boleh tahan lama sehingga seminggu tidak basi-basi,” katanya. – UTUSAN