PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Fattah Amin, memaklumkan dia kini sebolehnya ingin mengelakkan berlakon yang membabitkan adegan yang tidak sesuai.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon filem KL Special Force itu ketika ditemui di Barakah Jumaat sempena pelancaran koleksi telekung Fazura X Muhayya, di Sunway Damansara, baru-baru ini.
“Semua orang tahu, saya sememangnya kalau boleh mahu mengelakkan berlakon yang membabitkan adegan-adegan yang tidak sesuai.
“Saya pun sudah lama tidak melakonkan adegan seperti itu. Bagaimanapun, saya ada berbincang juga dengan pengarah,” katanya.
Bagi perkembagan terbaharu, Fattah berkongsi dirinya membawa watak antagonis menerusi naskhah Khilaf Asmara yang akan ditayangkan pada April depan.
Jelasnya, sudah sampai masa untuk dirinya mencuba watak yang baharu agar penonton tidak bosan selain ingin keluar daripada watak stereotaip.
“Saya saja nak membawa watak antagonis dalam drama berkenaan. Sudah sampai masanya untuk saya mencuba sesuatu yang baharu supaya penonton tidak bosan.
“Kadang kala mereka juga ada berkata ‘Ala, Fattah ini selalu membawa watak yang sama sahaja. stereotaip dan cliché,” tuturnya lagi.
Sekadar informasi, isterinya yang juga pelakon, Fazura baru sahaja melancarkan koleksi telekung ‘Fazura X Muhayya’ yang berkolaborasi bersama Datuk Prof. Dr. Muhayya, pada Jumaat lepas.
Koleksi Rindu Ramadan boleh dimiliki mulai 25 Mac sementara bagi yang berminat dengan Sayang Syawal, ia mula dijual mulai 8 April depan.