KAJD teruskan projek Melaka Gateway - Utusan Malaysia

KAJD teruskan projek Melaka Gateway

AB. RAUF Yusoh (kanan) melihat model pembangunan MICT ketika melawat projek Melaka Gateway di Pejabat KAJD di Pulau Melaka, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyerahkan kembali projek Melaka Gateway kepada KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD) bagi meneruskan kerja-kerja pembangunan di Pulau Satu (PME1).

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perjanjian pelaksanaan PME1 telah dimeterai pada 23 Februari lalu antara kerajaan negeri yang diwakili Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sementara KAJD diwakili Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Michelle Ong.

Menurut beliau, tidak timbul lagi isu pertikaian di mahkamah kerana ia telah diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak.

“Kerja-kerja pembinaan di PME1 telah disambung semula selepas termeterainya perjanjian berkenaan. Semua permohonan (menyambung kerja) akan diuruskan secepat mungkin.

“Kita mahu kawasan ini dijadikan sebuah tempat pelaburan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi lebih cepat daripada yang kita jangkakan. Projek berkenaan akan membawa pulangan mencecah sehingga RM3.4 bilion dan dijangka meningkat kepada RM15.25 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan ke tapak projek itu di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu.

Sebelum ini, media melaporkan, KAJD memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 4 Disember 2020 selepas perjanjian projek penambakan laut dengan kerajaan negeri ditamatkan.

Bagaimanapun, setelah melalui proses mahkamah yang panjang, KAJD akhirnya mahu menyelesaikan pertikaian tersebut di luar mahkamah.

Sementara itu, berhubung pelaburan langsung asing (FDI), Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju.

Jelasnya, Melaka Gateway dianggap sebagai pemangkin kepada ekonomi Melaka dan pihaknya menyokong penuh sebarang perancangan untuk dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Bermula dari tempoh penjadualan hingga tamat, terserah kepada pemaju untuk membawa masuk pelabur-pelabur asing dan mengemukakan sebarang cadangan mereka kepada kerajaan negeri,” katanya.

Pembangunan PME1 dimulakan dengan pembinaan Terminal Kapal Pelayaran Antarabangsa (MICT) yang dijangka siap dalam tempoh 15 bulan akan datang dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.5 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya