IPOH: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak menetapkan kadar zakat fitrah bagi tahun ini dengan tiga pilihan iaitu RM7, RM14 dan RM21 setiap seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, walaupun harga minimum adalah RM7 bagi seorang, adalah digalakkan pembayar zakat fitrah untuk membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar ‘tatawwu’ atau sukarela.
“Kadar yang ditawarkan adalah RM14 seorang bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya. Bagi pembayar yang menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah dan seumpamanya sebagai makanan ruji seharian, kadar yang ditawarkan ialah RM21 seorang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrul Azam, bayaran boleh dibuat melalui amil dengan pematuhan kepada arahan, peraturan dan tatacara kawalan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
Jelas beliau, proses bayaran zakat fitrah kepada amil hendaklah mematuhi syarat-syarat ditetapkan iaitu amil dan pembayar sentiasa memakai pelitup muka, sentiasa mengekalkan penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman, menyediakan wang yang secukupnya bagi melancarkan proses bayaran, tidak bersalaman semasa akad bayaran zakat, urusan pembayaran dilaksanakan segera tanpa dilengahkan dan beredar setelah selesai urusan pembayaran.
Beliau menjelaskan, bayaran melalui amil boleh dibuat melalui kaunter di masjid atau kaunter-kaunter yang dibuka oleh amil sama ada di masjid, surau, lokasi tumpuan orang ramai seperti kompleks beli-belah, pasar terbuka, stesen minyak, premis perniagaan serta pejabat kerajaan atau swasta terpilih.
“Amil juga bertemu langsung dengan pembayar oleh amil fitrah lantikan kariah masjid dengan bergerak dari rumah ke rumah bagi memudahkan ahli kariah melaksanakan ibadah zakat terutama warga tua,” jelasnya.
Jelas beliau, bayaran zakat fitrah boleh dibuat melalui pilihan medium bayaran secara dalam talian iaitu dengan melayari ezakat.maiamp.gov.m, aplikasi GoPayz, aplikasi Shopee, Maybank2u dan aplikasi SnapNPay.
“Penyata Bayaran Zakat Fitrah bagi medium bayaran FPX MAIPk (ezakat.maiamp.gov.my) boleh dimuat turun terus daripada sistem FPX MAIPk manakala bagi medium bayaran selain FPX MAIPk, penyata bayaran zakat fitrah boleh diperoleh selepas enam hari transaksi dibuat.
“Pembayar hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan ke dalam sistem online.maiamp.gov.my/zakatfitrah dan seterusnya memuat turun penyata bayaran untuk simpanan atau cetakan,” katanya. – UTUSAN