Jual bihun sup, laksa RM1 mahu ambil berkat niaga

Jual bihun sup, laksa RM1 mahu ambil berkat niaga

IZHAN Sukaymee dan Norliza Pipit menjual bihun sup serta laksa pada harga serendah RM1 di Seri Manjung, Perak. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ketika pelbagai barangan keperluan dan makanan semakin mahal, masih ada yang prihatin dengan tekanan kos hidup dihadapi orang ramai dengan menjual makanan pada harga dianggap murah dalam situasi sekarang.

Penjaja, Izhan Sukaymee, 50, dan, isterinya, Norliza Pipit, 51, menjual bihun sup dan laksa pada harga RM1 sebungkus sejak kira-kira empat bulan lalu kerana percaya keberkatan dalam perniagaan jika memudahkan kehidupan orang lain.

“Orang selalu bercakap apa boleh beli dengan harga RM1. Jadi, kami mahu menunjukkan masih ada makanan yang boleh dibeli sesuai dengan harganya.

“Setiap perniagaan ada keuntungannya. Walaupun mungkin untung sedikit tidak mengapa asalkan berkat,” kata Izhan yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika ditemui di gerainya dekat sebuah stesen minyak di Seri Manjung, di sini.

Menurutnya, laksa dan bihun berharga RM1 itu menggunakan sayur-sayuran sebagai pelengkap menu dengan pelanggannya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang mempunyai anak ramai serta murid sekolah.

Jelasnya, perniagaan harga mampu milik itu adalah konsep yang sudah menjadi amalan keluarga sepertimana dilakukan tiga lagi ahli keluarganya yang turut menjual laksa pada harga sama di pasar malam di Johor.

‘Kami turut menjual menu sama pada harga RM5 yang mana kandungannya lebih banyak dan lengkap seperti biasa dengan mengandungi ayam serta telur,” katanya.

Tambah Izhan, dia memerlukan empat hingga lima kilogram laksa dan bihun selain 10 kilogram ikan serta empat ekor ayam sehari untuk jualan di gerainya yang dibuka mulai pukul 11 pagi hingga 5 petang.

“Setakat ini sambutan mengalakkan dan ramai menyokong kami, malah ada juga yang gembira kerana masih ada menu semurah ini.

“Kami pernah melihat ada pasangan yang membeli laksa atau bihun hanya beberapa bungkus sedangkan anak mereka ramai, jadi kami terfikir jika jual dengan harga RM1 pasti semua anaknya boleh merasa makanan itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya