PONTIAN: Proses pemutihan dan penjenamaan semula pentadbiran kepimpinan generasi baharu bermula di Johor apabila 70 peratus golongan muda diberi mandat dan kepercayaaan untuk mentadbir negeri.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Muhd. Helmi Buang berkata, pemilihan mereka sebagai Exco tidak bermakna pemimpin senior atau yang lebih berpengalaman akan terus dilupakan.
Katanya, mereka yang dilantik tentunya telah bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Ghazi Hafiz yang juga orang muda.
“Ini satu keputusan serta tindakan yang sangat bijak kerana suara anak muda akhirnya didengari dan secara tidak langsung pentadbiran negeri dapat bawa pendekatan dan dasar-dasar baharu untuk Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Mereka ialah Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap), Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor (Bukit Permai), K. Raven Kumar (Tenggaroh), Khairin Nisa Ismail (Serom), Mohd . Hairi Mad Shah (Larkin) dan Mohd. Fared Mohd. Khalid (Semerah).
Turut mengangkat sumpah ialah Ling Tian Soon (Yong Peng), Lee Ting Han (Paloh), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir) dan Norliza Noh (Johor Lama).
Dalam kalangan mereka, Pemuda BN yang membarisi senarai Exco ialah Mohd. Hairi (Ketua Pemuda UMNO Johor), Mohd. Fared (Naib Ketua Pemuda UMNO Johor) dan Mohamad Fazli (Ketua Pemuda UMNO Pagoh). Selain itu, Raven Kumar merupakan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan diikuti Tian Soon (Ketua Pemuda MCA Johor) dan Ting Han (Ketua Pemuda MCA Sembrong) serta Norliza (Ketua Puteri UMNO Kota Tinggi).
Tambah Muhd. Helmi, peluang seperti itu sentiasa dinantikan oleh pemimpin generasi baharu, di mana kewibawaan seseorang pemimpin akan dapat diukur melalui cara mereka mentadbir sesebuah organisasi.
“Fokus utama yang perlu diberikan perhatian sekarang adalah berkomunikasi dengan baik untuk mendekati rakyat dan mendengar setiap luahan hati mereka agar dapat diperbaiki. Kita yakin mereka akan dapat menyelami hati rakyat kerana pemimpin generasi muda mudah mendampingi pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda dan sebagainya,” jelasnya.
Katanya, generasi muda yang ada kini harus dijaga dan dipimpin dengan baik kerana mereka adalah pelapis dan bakal menggantikan pemimpin sekarang yang juga bakal menjadi ‘veteran’ suatu hari nanti. – UTUSAN