Jenazah isteri Nik Zawawi selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah isteri Nik Zawawi selamat dikebumikan

NIK Muhammad Zawawi bersama penduduk menyempurnakan pengebumian arwah isterinya, Wan Sofiza Eliana Wan Yusof di Pantai Melawi, Bachok hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Jenazah Wan Sofiza Eliana Wan Yusof, isteri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Melawi, di sini pada pukul 10.45 pagi ini.

Terdahulu, selepas van jenazah tiba di pekarangan Masjid Mukim Melawi pada pukul 10.10 pagi, Nik Muhammad Zawawi mengimamkan solat jenazah yang turut disertai ahli keluarga, barisan kepimpinan Pas Kelantan serta penduduk setempat.

Wan Sofiza Eliana, 42, meninggal dunia di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, Selangor pada pukul 1.05 petang semalam akibat penyakit kanser pangkal rahim yang dihidapi sejak tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang anak lelaki dan dua perempuan berusia tujuh hingga tiga tahun sepanjang 10 tahun perkahwinannya bersama Nik Muhammad Zawawi.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan pengebumian serta mendoakan kesejahteraan arwah isterinya.

“Hidup dan mati adalah ketentuan Allah yang telah tersurat. Ia perlu diinsafi dengan terus melaksanakan kebaikan dan amal makruf kerana kita adalah hambanya yang amat kerdil. Allah jua yang Maha Berkuasa.

“Talkin yang saya bacakan bukan untuk si mati tetapi untuk peringatan kepada saya sendiri bersama kaum keluarga dan kenalan yang hadir supaya terus taat terhadap perintah-Nya. Hanya amal kebajikan di dunia sahaja mampu bersama kita selepas kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya