Jemaah syukur pengumuman saf solat rapat

Jemaah syukur pengumuman saf solat rapat

PARA jemaah menunaikan solat Zuhur dengan saf dirapatkan di Masjid Alwi, Kangar, Perlis semalam. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para jemaah menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kebenaran merapatkan saf solat di masjid-masjid seluruh negara bermula April ini.

Jemaah Masjid Alwi, Mohd. Zainuddin Hasan, 40, berkata, perkembangan tersebut sangat menggembirakan sekali gus negeri-negeri lain bakal mengikut jejak langkah Perlis sudah membenarkan jemaah merapatkan saf sejak Januari lalu.

“Apabila saf dirapatkan, lebih ramai berpeluang solat berjemaah kerana mempunyai ruang solat lebih luas sekali gus dapat memenuhkan masjid dengan kapasiti penuh.

“Orang ramai juga tidak perlu lagi terburu-buru beribadah kerana apabila saf dirapatkan, sudah pasti banyak lagi ruang untuk solat berjemaah. Perkembangan tersebut amat baik untuk kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Mohd. Zainuddin, dalam tempoh pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, jemaah terasa amat janggal menunaikan solat dalam keadaan berjarak mengikut kebiasaan baharu.

“Walaupun jarak dirapatkan, kita perlu sentiasa berhati-hati dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, masjid-masjid di negeri ini masih kekal mengguna pakai SOP seperti mana titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Januari lalu.

Imam 2 Masjid Alwi, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya belum lagi menerima titah terbaharu daripada Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) susulan pengumuman Perdana Menteri.

“Buat masa ini kami meneruskan SOP seperti biasa iaitu saf dirapatkan dengan kadar jarak sejadah masing-masing dan sejadah adalah bersaiz standard serta tiada berlaku sentuhan fizikal solat.

“Sejadah tersebut juga perlu dibawa sendiri jemaah dari rumah selain perlu memakai pelitup muka serta mengimbas kod menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis butiran di dalam buku pelawat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya