JOHOR BAHRU: Sindiket pelacuran menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk mencari lelaki berhidung belang dengan menawarkan wanita warga asing tumpas hasil serbuan Jabatan Imigresen, kelmarin.
Kegiatan yang berselindung di sebuah premis kesihatan atau spa di Taman Pelangi di sini menawarkan wanita warganegara Thailand dan Laos dengan harga antara RM250 hingga RM350 bagi sekali langganan.
Bakal pelanggan akan mengakses pautan media sosial yang boleh diperoleh melalui carian Google dengan kata kunci ‘JB Girls Escort’ sebelum mereka boleh memilih wanita yang diinginkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan bermula pukul 7.45 malam itu, 15 wanita warga asing bersama seorang lelaki Myanmar ditahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 wanita Thailand, seorang wanita Laos serta seorang lelaki Myanmar. Turut ditahan seorang lelaki tempatan disyaki penjaga premis.
“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 25 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, kegiatan tidak bermoral itu terbongkar hasil risikan sejak sebulan lalu yang dijalankan Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, dalam serbuan itu juga 12 individu disyaki pelanggan termasuk empat lelaki warga asing turut diperiksa.
Kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peratusan Imigresen 1963, manakala pelanggan yang diperiksa pula dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan. – UTUSAN