GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru umat Islam menjadikan Ramadan yang bakal tiba lebih bermakna dengan mengelak membazir makanan sepanjang bulan mulia itu tahun ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, sejak 10 tahun lalu setiap kali Ramadan, CAP menjalankan kempen menentang pembaziran yang dilarang oleh Islam dan agama lain.
“Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat kepada umat Islam, namun bagi sesetengah orang, ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.
“Islam menyuruh umatnya mengelakkan sikap rakus, membazir dan boros, namun berlawanan dengan ajaran ini, sesetengah orang makan dan minum begitu banyak sehingga menjadi malas dan mengabaikan kewajipan untuk melakukan solat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis pelancaran kempen hentikan pembaziran sempena Ramadan di pejabat CAP, di sini hari ini.
Menurut Mohideen, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan pada 2016, setiap kali Ramadan 20,000 tan makanan dibuang terus ke dalam tong sampah.
Katanya, jumlah makanan itu sebenarnya boleh memberi makanan kepada 180 juta orang yang memerlukan.
“Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan.
“Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai serta melepaskan karbon dioksida yang menyebabkan pemanasan global,” katanya. – UTUSAN