Jambatan gantung ancam nyawa

Jambatan gantung ancam nyawa

MOHD. FIRDAUS Abdul Razak menunjukkan jambatan gantung Kampung Mambang Berulang yang rosak dan belum diperbaiki selepas banjir melanda Disember tahun lalu di Mentakab, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kedudukan Kampung Mambang Berulang dan Kampung Sungai Dingin hanya kira-kira tiga kilometer dari bandar Mentakab, dekat sini tetapi prasarananya seolah-olah dalam era 1980-an.

Penduduk di kedua-kedua kampung tersebut dianggarkan 400 orang menggunakan jambatan gantung merentasi Sungai Semantan untuk ke bandar Mentakab atau Temerloh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Firdaus Abdul Razak, 37, berkata, walaupun sudah beberapa bulan Jambatan Gantung Mambang Berulang rosak akibat banjir Disember tahun lalu, belum ada tanda ia akan diperbaiki sehingga meresahkan penduduk di sini.

Katanya, struktur jambatan itu yang rosak tidak dapat digunakan kerana mengundang risiko keselamatan terhadap orang ramai terutama kanak- kanak.

“Jambatan itu menjadi laluan penting kepada penduduk untuk ke bandar dan pelbagai urusan lain termasuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif lain iaitu jalan bengkang bengkok dan sempit serta jauh untuk ke jalan utama Temerloh-Mentakab.

“Menggunakan jalan alternatif ini melibatkan jarak lebih 15 kilometer memakan masa 20 hingga 30 minit ke lokasi sedangkan melalui jambatan gantung itu hanya lima minit,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Marto Marijo, 63, pula berkata, sudah sampai masanya sebuah jambatan konkrit dibina menggantikan jambatan gantung berusia lebih 30 tahun itu.

Katanya, jambatan konkrit baharu diperlukan membabitkan jarak kira-kira 100 meter supaya kenderaan seperti kereta dapat melaluinya dengan selamat.

“Penduduk sentiasa ternanti-nanti perkhabaran gembira daripada pemimpin negeri dan Pusat untuk membaik pulih jambatan usang itu,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamaliah Kasim, 71, berkata, jambatan konkrit memberi keselesaan dan rasa selamat kepada penduduk kampung untuk ke bandar Mentakab dan Temerloh.

“Nilai hartanah di seberang Sungai Semantan membabitkan beberapa kampung tradisi seperti Mambang Berulang akan melonjak naik jika jambatan konkrit dapat dibina,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya