IPOH: Laluan Persekutuan FT 239 Jalan Ampang-Jelapang atau susur keluar Jalan Kuala Kangsar ke Meru yang ditutup satu lorong ekoran mendapan tanah, akan dibuka semula Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja baik pulih di laluan tersebut dijangka selesai esok meskipun ia dijadual dibuka semula pada bulan hadapan.
“Jalan itu telah dibuat ‘lay crucher run‘ dan akan di ‘prime coat‘ petang ini. Ini bermakna, kerja-kerja ‘premix‘ iaitu ‘binder and wearing course‘ akan dilakukan esok selain hanya tinggal kerja ‘road line‘. Oleh itu, kerja-kerja di laluan ini akan siap esok dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan ini sepenuhnya pada Ahad. Alhamdulillah, kerja baik pulih ini siap lebih awal daripada jangkaan tiga bulan iaitu 6 April ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zolkafly, beliau telah meminta pegawainya ke laluan itu untuk melihat sendiri kerja-kerja baik pulih bagi memastikan kelancaran projek berkenaan.
Katanya, pemantauan berterusan penting bagi memastikan apa yang dijanjikan tidak hanya sekadar di atas kertas.
“Seperti saya tegaskan, jalan ini merupakan jalan milik Kerajaan Persekutuan dan bukannya negeri. Bagaimanapun, sebagai Exco kerajaan negeri, saya sedar rakyat tidak mahu tahu apa kekangan, yang penting mahukan penyelesaian segera. Kerana itu, saya dan pasukan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak tanpa putus asa terus menerus ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kelulusan peruntukan bagi projek baik pulih ini,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya memberi jaminan jalan tersebut selamat dilalui dan tidak sama sekali berkompromi terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Terdahulu, media pada 7 Januari lalu melaporkan, kerja-kerja baik pulih di laluan itu dijalankan setelah JKR Perak menerima peruntukan sebanyak RM624 ribu bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan kekal di lokasi mendapan tersebut.
Sebelum ini, kerja-kerja baik pulih lapisan permukaan jalan laluan berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan penemuan mendapan tanah sebesar 10 meter.
Mendapan tanah dengan panjang 10 meter dan lebar 1.5 meter di bahu jalan Seksyen 4.73 itu disedari pihak syarikat konsesi pada 19 Oktober lepas. – UTUSAN