PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menentang keras penyiaran drama ‘Perempuan Itu’ yang bakal ditayangkan Ramadan ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff menegaskan, sebarang bentuk program seumpama ini jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.
Beliau berkata, drama sebegini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan mulia ketika seluruh umat Islam melaksanakan ibadat berpuasa.
Dalam hal itu, Jakim sudah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera.
“Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama ini.
“Ini kerana ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakimah berkata, Jakim tidak berkompromi dengan isu-isu seumpama ini dansentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ia tidak berulang.
Sebelum ini tular sedutan drama itu yang memaparkan aksi pelakon tidak senonoh sehingga mendapat bantahan ramai pihak. – UTUSAN