BUTTERWORTH: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang diingatkan supaya terus menjaga integriti dan nama baik pasukan itu ketika menjalankan tugas.
Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Ishak Mohd. Radzi berkata, setiap anggota yang berkhidmat mencerminkan imej pentadbiran pasukan penguatkuasaan itu.
Katanya, anggota APM juga kadangkala tidak terlepas daripada kecaman malah turut tercalar dengan isu-isu semasa melibatkan badan tersebut.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh patah semangat dan perlu teruskan perjuangan. Biarlah kita buat kerja, tunjukkan keberadaan kita kepada masyarakat dan kemudian biar masyarakat yang menilai,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali ke-70, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dari aspek keanggotaan dan aset bagi berdepan kemungkinan banjir di negeri itu.
“Setakat ini, semua aset membabitkan 25 bot, lapan lori, dan 12 kenderaan pacuan empat roda diselenggara baik dan sedia digunakan ketika operasi. Seramai 650 anggota sepenuh masa bersedia digerakkan ke setiap lokasi yang memerlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN